PENAMPANG: 18 Februari 2026 – Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA) menafikan dakwaan berlakunya “penindasan” atau “rampasan tanah adat kampung” berhubung permohonan tanah di Kampung Minintod dan kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Bantayan dan Sukang Mabpai.
KDCA menjelaskan bahawa kawasan yang dipersoalkan masih berstatus Rizab Veterinar Sabah dan bukannya rizab perkampungan Orang Asal seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Menurut Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun, rekod menunjukkan bahawa pada 12 Mac 1988, menerusi Resolusi Pemegang Amanah Rezab Natif P.9114, KDCA Pusat telah dibenarkan menduduki dan menggunakan sebahagian kawasan seluas 30 ekar, tertakluk kepada penyukatan rasmi. Resolusi tersebut ditandatangani oleh ketua-ketua kampung yang terlibat ketika itu.
Beliau berkata, pada 14 Mei 1994, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Koisaan di Hongkod Koisaan meluluskan penerimaan tawaran pemberian milik 30 ekar berkenaan kepada KDCA. Proses tersebut turut disokong barisan kepimpinan KDCA yang disaksikan oleh wakil rakyat dan pemimpin masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu perjanjian telah dipersetujui pada tahun 1988 oleh semua Ketua Masyarakat di Inanam bagi menyokong cadangan supaya kawasan berkenaan dirujuk kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan dan diluluskan kepada KDCA.
Justeru, permohonan rasmi kemudiannya dikemukakan kepada Kerajaan Negeri, termasuk mendapatkan pertimbangan Ketua Menteri berserta justifikasi lengkap berhubung keperluan kawasan tersebut.
Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri telah memberikan maklum balas positif terhadap permohonan berkenaan, tertakluk kepada ulasan dan komen Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Bagaimanapun katanya, jabatan tersebut masih belum mengemukakan maklum balas rasmi untuk tindakan lanjut Jabatan Tanah.
KDCA menegaskan bahawa keputusan asal dibuat melalui mesyuarat rasmi dan persetujuan pemimpin masyarakat, disokong oleh ketua-ketua kampung pada ketika itu dan diproses melalui saluran sah Kerajaan Negeri. Status tanah tersebut juga kekal tertakluk kepada proses jabatan berkaitan.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menyifatkan dakwaan bahawa KDCA merampas atau menindas masyarakat sebagai tidak tepat dan bercanggah dengan fakta dokumentasi rasmi.
Oleh itu katanya, bagi mengelakkan kekeliruan berterusan, KDCA akan mengadakan mesyuarat bersama ketua-ketua kampung yang terlibat pada 20 Februari ini bagi memperjelaskan kedudukan sebenar berdasarkan dokumen rasmi.
KDCA turut menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan mengutamakan perbincangan secara berhemah demi menjaga keharmonian masyarakat.
Sumber: Kenyataan Media
