KOTA KINABALU: 02 March 2026 – Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya merampas tanah adat di kawasan Minintod, Sukang Mabpai dan Bantayan di Inanam, sebaliknya menegaskan tanah berkenaan telah dihadiahkan secara sah oleh tiga kampung terbabit sejak 1988.
Menurut kepimpinan Kadazandusun Cultural Association (KDCA), tuduhan yang tular di media sosial dan beberapa saluran media bahawa persatuan itu menceroboh dan menindas penduduk kampung adalah tidak benar dan bersifat fitnah. TvSabah kemudiannya dihubungi untuk laporan susulan isu tersebut.
Isu berkenaan timbul susulan satu perhimpunan pada 17 Februari lalu di kawasan tanah yang termasuk dalam rizab Veterinary Grazing Reserve seluas lebih 200 ekar, yang mana terdapat dakwaan bahawa KDCA telah mengambil tanah hak milik penduduk kampung.
Bagaimanapun, KDCA menjelaskan bahawa pada tahun 1988, ketiga-tiga ketua kampung bersama pemegang amanah ketika itu telah bersetuju menghadiahkan tanah seluas 30 ekar kepada KDCA, iaitu 10 ekar bagi setiap kampung. Persetujuan tersebut kemudiannya disempurnakan pada tahun 1994, sekali gus membenarkan KDCA memasuki dan mengurus kawasan berkenaan serta memohon geran dari kerajaan negeri.
“Kami bertindak berdasarkan dokumen dan persetujuan sah yang telah diperoleh. Tuduhan mengatakan kami menceroboh atau merampas tanah adalah tidak berasas,” jelas Setiausaha KDCA, Datuk Suman Yasambun, sebagai wakil KDCA.
Pada 20 Februari 2026, KDCA telah memanggil ketiga-tiga ketua kampung untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Dua ketua kampung masing-masing dari Kampung Minintod dan Kampung Sukang Mabpai hadir, manakala seorang lagi iaitu Ketua Kampung Bantayan tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua ketua kampung yang hadir memaklumkan bahawa mereka tidak terlibat dalam penganjuran perhimpunan tersebut dan tidak mengetahui mengenai dakwaan yang dibuat.
Dalam masa sama, KDCA memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti individu yang didakwa menyebarkan tuduhan bahawa persatuan itu menceroboh dan merampas tanah kampung.
Dalam keadaan terkesan, KDCA menegaskan kepada ketiga-tiga kampung tersebut, bahawa KDCA tidak pernah berniat untuk merebut, menindas mahupun menceroboh.
Bagi membersihkan nama organisasi, KDCA telah melantik firma guaman untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.
Turut hadir pada pertemuan 20 Februari lalu ialah mantan OKK Inanam, Datuk William Majimbun dan mantan Ketua Kampung Minintod, Markus yang membantu menyediakan maklumat untuk kegunaan mesyuarat berkenaan.
KDCA berharap penjelasan ini dapat memberi keyakinan kepada masyarakat, khususnya penduduk di tiga kampung terlibat, bahawa persatuan itu tidak pernah berniat menindas atau mengambil hak mana-mana pihak, sebaliknya komited membantu komuniti setempat mencari penyelesaian yang adil dan sah di sisi undang-undang.
Menurut KDCA, wakil kampung juga menyatakan tiada bantahan terhadap pemberian 30 ekar tanah berkenaan kepada persatuan itu. Malah, mereka memohon bantuan KDCA untuk bersama-sama memohon kepada kerajaan negeri agar baki kawasan yang masih berstatus rizab dapat dikeluarkan dari pewartaan (gazet) dan dipertimbangkan untuk manfaat kampung-kampung terlibat.
Sehubungan itu, KDCA menyatakan kesediaan membantu ketiga-tiga kampung dalam mencari penyelesaian terbaik termasuk dari segi kepakaran dan rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Sumber: Datuk Suman (KDCA)
