PENAMPANG: 5 Disember 2025 — Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) dengan kerjasama TV Sabah menganjurkan Kaamatan Reflection Day sebagai platform untuk memperkukuh perancangan serta hala tuju Pesta Kaamatan 2026 melalui sesi-sesi refleksi dan perbincangan strategik bersama semua jawatankuasa pelaksana perayaan Kaamatan.
Program ini dihadiri oleh Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Koordinasi (MICC) yang diketuai oleh KDCA serta jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan, Randawi Tavantang Kaamatan, Bobolian dan adat, Publisiti dan Hebahan dan penyelarasan atau wakil rumah tradisi. Ia bertujuan memperhalusi visi, nilai dan semangat Kaamatan agar penganjuran tahun hadapan lebih tersusun, relevan dan berpaksikan perpaduan masyarakat Kadazandusun.

Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Timbalan Presiden merangkap Bendahari Agung KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip.
Sesi diteruskan dengan empat siri dialog interaktif yang memberi tumpuan kepada penghayatan makna Kaamatan, peningkatan strategi kepimpinan, pemantapan nilai perpaduan dalam keluarga besar KDCA serta penyusunan pelan Kaamatan 2026 dengan identiti budaya Kadazandusun.
Pada sebelah petang, sesi kelima membentangkan rumusan keseluruhan perbincangan, termasuk cadangan penambahbaikan pengurusan, peluasan penglibatan belia, pengukuhan kandungan budaya serta strategi komunikasi yang lebih mampan bagi sambutan Kaamatan 2026.
Program disempurnakan dengan ucapan penutup oleh Presiden KDCA, Huguan Siou Tan Sri DSP Joseph Pairin Datuk Kitingan.
Inisiatif refleksi ini dijangka menjadi pemangkin kepada penganjuran Pesta Kaamatan 2026 yang lebih berstruktur, inklusif dan selari dengan aspirasi masyarakat Kadazandusun pada masa kini.
