Kawasan tadahan air Babagon perintis skim PES

oleh David E.G.

Kota Kinabalu, 17 April 2025 – Kawasan Tadahan Air Babagon telah dipilih sebagai tapak perintis dalam usaha kerajaan membangunkan kerangka PES yang sesuai dengan konteks dan penerimaan masyarakat setempat.

Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam melaksanakan Skim “Payment for Ecosystem Services (PES)”, khususnya di kawasan Tadahan Air Babagon.

Penegasan ini disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, sebagai respons kepada pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Yang Berhormat ADUN N.25 Kapayan, Jannie Lasimbang.

Kitingan yang juga Pengerusi Sumber Air Negeri Sabah, menekankan kepentingan memahami dan menyesuaikan pelaksanaan skim ini dengan realiti sosio-ekonomi dan budaya masyarakat di Sabah.

Menurutnya lagi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang dalam proses mewartakan kawasan tadahan air Babagon sebagai Kawasan Perlindungan Air dan Kawasan Pemeliharaan Air di bawah Enakmen Sumber Air Sabah 1998. Pewartaan ini merupakan langkah kritikal dalam memastikan perlindungan dan pemuliharaan sumber air di kawasan tersebut.

Beliau selanjutnya menambah bahawa pelaksanaan skim PES hanya boleh dimulakan setelah proses pewartaan kawasan tadahan air Babagon selesai dan perundangan bagi Tabung Pemuliharaan Sumber Asli diwartakan. Kelewatan itu disebabkan oleh keperluan memastikan semua aspek perundangan dan pentadbiran dipatuhi sepenuhnya bagi menjamin keberkesanan dan kelestarian skim PES dalam jangka masa panjang.

Dengan terlaksananya skim tersebut, Kitingan berharap ia dapat memberi insentif kepada masyarakat setempat untuk turut serta dalam usaha memelihara dan melindungi ekosistem demi kesejahteraan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal