Kanak-Kanak Seawal 10 Tahun Terjebak Dadah- Zahid

KUALA LUMPUR :26 September 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah mula terjebak dengan penagihan dadah.

Beliau berkata, antara punca utama ketagihan dalam kalangan bawah umur ialah taktik pengedar yang memberikan gula-gula mengandungi dadah secara percuma.

Selain itu, katanya, terdapat juga isu hubungan suka sama suka dalam kalangan remaja, dengan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak, bukan kerana paksaan.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana zaman kecil yang sepatutnya dipenuhi keceriaan kini semakin dipengaruhi oleh gejala sosial berbahaya seperti dadah dan seks bebas.

Menurut pemerhatian, faktor yang menyumbang kepada penularan masalah ini termasuk penggunaan telefon pintar tanpa kawalan, pengaruh rakan sebaya, kurang perhatian ibu bapa serta kelemahan pendidikan awal mengenai bahaya dadah dan seks bebas.

Sehubungan itu, masyarakat, ibu bapa, sekolah dan kerajaan digesa berganding bahu bagi mengelakkan generasi muda terus tergelincir ke dalam gejala berisiko tinggi.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal