KOTA KINABALU: 2 Oktober 2025 – Datuk Seri Kadzim M Yahya mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi penggal kedua dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Istiadat itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, selepas beliau menerima Surat Cara Pelantikan untuk tempoh lima tahun.
Beliau turut menandatangani dokumen pelantikan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Turut hadir menyaksikan ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan Timbalan Ketua Menteri, menteri dan pembantu menteri Kabinet Sabah.
Kadzim, 66, dilantik sebagai Speaker DUN Sabah pada 1 Oktober 2020.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Council for National Academic Awards (CNAA), United Kingdom, dan pemegang Sijil Amalan Guaman (CLP) dari Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang Ko-Nelayan (1987-1990) dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (2008-2018).
Terdahulu, khabar angin mengenai kemungkinan pembubaran DUN Sabah turut menarik perhatian petugas media yang berkumpul di Istana Seri Kinabalu sejak awal pagi.
Namun, tiada sebarang pengumuman berhubung perkara itu dibuat.
DUN Sabah ke-16 dijangka terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Sumber: Astro awani