TAWAU: 22 Julai 2025 – Kegiatan perjudian sabung ayam di daerah ini berjaya dipatahkan menerusi dua serbuan berasingan yang membawa kepada penahanan lima individu serta rampasan 622 ekor ayam sabung, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM3.28 juta.
Operasi bersepadu yang dijalankan pada 18 Julai lalu sekitar jam 2.30 petang itu merupakan hasil tindakan strategik Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pertama dilakukan di satu lokasi yang tidak didedahkan, membawa kepada penahanan empat lelaki, dua warga Indonesia dan dua warga Filipina, berusia antara 31 hingga 52 tahun.
Dalam serbuan tersebut, pasukan operasi merampas 470 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji, 130 kotak peralatan, 50 botol pelbagai jenis vitamin, dan 500 unit sangkar kecil yang digunakan untuk menyimpan ayam sabung.
Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Membalua, Jalan Apas, Tawau, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun. Turut dirampas ialah 152 ekor ayam sabung hidup yang dipercayai turut diseludup dari Filipina.
Siasatan awal mendapati aktiviti tersebut melibatkan pelbagai pelanggaran undang-undang termasuk mengimport haiwan tanpa lesen sah di bawah Enakmen Haiwan 2015, dan kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63, membabitkan penggajian serta pekerjaan tanpa permit yang sah.
Selain itu, pemilikan senjata tajam berbentuk pisau taji ayam turut disiasat di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Pihak polis menegaskan bahawa usaha membanteras kegiatan sabung ayam, yang bukan sahaja melibatkan elemen perjudian tetapi juga penyeludupan haiwan eksotik secara haram, akan terus digiatkan di seluruh negeri Sabah.
Kerjasama orang awam amat dihargai dalam menyalurkan maklumat yang boleh membantu pihak berkuasa menghapuskan kegiatan jenayah seumpama ini.
Sumber: Sabah News Today