JTPAP diperkukuh hadapi ketirisan dan tangani aktiviti penyeludupan bahan api

photo 2026 03 24 18 27 09

KOTA KINABALU: 24 Mac 2026 – Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) terus diperkukuh sebagai usaha kerajaan menghadapi ketirisan dan menangani aktiviti penyeludupan bahan api bagi memastikan bekalan di Sabah kekal mencukupi dan stabil, meskipun terdapat khabar angin mengenai kekurangan di beberapa lokasi baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, memaklumkan perkara itu selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor di Menara Kinabalu.

Menurut beliau, peningkatan risiko ketirisan berpunca dari konflik di Asia Barat dan jurang harga yang ketara antara bahan api bersubsidi dalam negara dengan harga pasaran di negara jiran.

Armizan menjelaskan bahawa dakwaan berlakunya kekurangan bekalan petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di Sabah adalah tidak tepat. Sebaliknya, bekalan semasa adalah mencukupi dan lebih stabil berbanding beberapa negara serantau.

Beliau berkata, isu yang timbul sebelum ini hanya melibatkan gangguan logistik sementara yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, terutama ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api adalah terjamin.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti penjualan atau pengisian bahan api selain ke dalam tangki kenderaan tanpa permit khas merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran.

Sumber: Fb Armizan Mohd Ali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal