KOTA BELUD: 23 Ogos 2025 – Calon prospektif Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Josely Taising menyeru penduduk kawasan itu agar bersatu membawa perubahan besar dalam landskap politik negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Sudah tiba masanya Sabah dipimpin oleh parti tempatan yang bebas dari pengaruh parti politik dari Semenanjung, sepertimana pendekatan yang berjaya dilaksanakan di Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan pengalaman politik negeri jiran itu membuktikan keberkesanan formula tersebut dan wajar dijadikan teladan untuk Sabah.
Josely mengakui usaha melaksanakan pembaharuan bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau yakin peluang untuk melakukannya tetap terbuka.
“Setiap perubahan besar memerlukan keberanian rakyat untuk mencuba dan memberi mandat baharu,” ujarnya.
Beliau juga menggesa masyarakat Kadamaian agar terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah dengan menyokong agenda perubahan.
Dalam perkembangan lain, Josely turut menzahirkan keprihatinannya terhadap penduduk dengan melawat beberapa keluarga yang sedang berduka di tiga buah kampung. Antaranya keluarga mendiang Puan Jultia Binti Sintakan di Kampung Bukid, mendiang Puan Rendimon Binti Dail di Kampung Mandap dan mendiang Encik Boyogo Bin Simbuna di Kampung Piasau Dimala.
Sumber: Jesselton Times