KUALA ROMPIN: 9 Februari 2026 — Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mendesak supaya semua aktiviti yang didakwa menceroboh tanah Wilayah Adat Kampung Jemeri dihentikan serta-merta susulan penahanan 21 penduduk Orang Asli oleh pihak polis di Kuala Rompin, Pahang.
JOAS memaklumkan penahanan itu berlaku ketika penduduk kampung cuba menghalang sebuah syarikat memasuki kawasan yang didakwa sebagai tanah Wilayah Adat mereka.
Dari 21 individu yang ditahan, 17 daripadanya wanita termasuk warga emas, ibu kepada anak kecil dan individu orang kurang upaya (OKU), manakala empat lagi adalah lelaki.
Menurut kenyataan media JOAS, Tok Batin Kampung Jemeri, Keria Bin Peletak, iaitu ketua kampung bagi komuniti Orang Asli di kawasan itu, telah membuat laporan polis berhubung tindakan syarikat berkenaan yang didakwa memasuki kawasan tersebut tanpa mendapatkan persetujuan awal komuniti atau Free, Prior and Informed Consent (FPIC).
Pertubuhan itu menyatakan bahawa tanah Wilayah Adat mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat Orang Asli kerana menjadi sumber kehidupan, budaya dan identiti komuniti.
Sehubungan itu, JOAS mengemukakan beberapa tuntutan termasuk meminta syarikat terbabit menghentikan semua aktiviti di kawasan berkenaan dan menggesa kerajaan tidak meluluskan sebarang projek melibatkan tanah Wilayah Adat tanpa persetujuan komuniti.
JOAS turut menuntut supaya semua individu yang ditahan dibebaskan dan menggesa pihak berkuasa menghormati prinsip hak asasi manusia.
Presiden JOAS, Puan Hellan Empaing Anak Chi Tungkat, berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan kes tersebut.
