TENOM: 18 Jun — Sebuah jeti nelayan darat bernilai RM200,000 bakal dibina di bawah jambatan baharu Pekan Tenom untuk meningkatkan pendapatan penangkap ikan sungai dan mewujudkan tarikan pelancongan baharu di daerah itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, reka bentuk akhir projek itu sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Ko-Nelayan sebelum pembinaan dilaksanakan.
Menurutnya, jeti berkenaan akan menjadi kemudahan pertama seumpamanya yang memberi tumpuan khusus kepada nelayan darat, di samping berfungsi sebagai lokasi pendaratan dan jualan ikan sungai secara lebih teratur.
“Setiap pagi kita akan mengadakan jualan ikan darat atau ikan sungai di kawasan tersebut yang mungkin tidak berlaku di mana-mana tempat lain,” katanya ketika melawat tapak projek itu.
Dalam usaha memperkukuh industri perikanan darat, kerajaan turut menyalurkan bantuan lapan bot lengkap bersama enjin dan peralatan menangkap ikan kepada lapan nelayan darat melalui Jabatan Perikanan.
Jamawi berkata, bantuan bernilai kira-kira RM120,000 itu merupakan pengiktirafan kepada golongan penangkap ikan sungai yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
Beliau berkata, kawasan jeti berkenaan turut dirancang sebagai produk pelancongan baharu selepas projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya.
Menurutnya, beberapa gerai akan dibina di kawasan itu untuk membolehkan pengunjung menikmati pemandangan matahari terbenam di bawah jambatan baharu Tenom.
“Kita mungkin buka sebelah malam atau sebelah petang supaya orang Tenom dan kawasan sekitar dapat menikmati pemandangan sunset yang amat indah,” katanya.
Pada masa sama, kerja pembersihan sungai dan parit terus dipertingkatkan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan kediaman dan premis perniagaan di daerah itu.
