Jeffrey kecewa partinya diberi hanya 2 kerusi

KOTA KINABALU: Presiden STAR Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan melahirkan rasa kecewa kerana parti itu hanya diberi dua kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November ini.
Parti STAR diberi kerusi Parlimen Keningau di mana Jeffrey akan bertanding dan Kenny Chua bagi kerusi Penampang. “Saya kecewa tetapi begitulah keadaannya. Cuma pastikan kita menang,” katanya selepas pengumuman calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) di sini pada Rabu.
Kenny pula ketika ditanya, menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ dalam pertandingan bagi kerusi parlimen Penampang di mana beliau akan berdepan dengan Datuk Darell Leiking dari Warisan dan Datuk Ewon Benedick daripada United Progressive Kinabalu Organization (UPKO) dari Pakatan Harapan.
“Saya tidak sangka untuk dipilih sebagai calon dan setahu saya, ada beberapa yang disenarai pendek yang dpilih oleh presiden untuk memenangi semula Penampang.
“Tidak mudah untuk menang di Penampang sebab ia adalah kubu kuat Darell manakala Ewon pula adalah pencabar yang kuat.
Tetapi saya akan memberikan perlawanan yang baik,” katanya.
Kenny adalah bekas ADUN Inanam dan pernah mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri Warisan Plus pada September 2020 apabila beliau keluar daripada PKR untuk menyertai Sabah STAR.
Kedua-dua Jeffrey dan Kenny akan bertanding di bawah pakatan GRS.
Sementara itu, Datuk Joniston Bangkuai akan bertanding bagi kerusi Parlimen Tuaran menentang calon PH Datuk Madius Tangau.
Joniston adalah ketua penerangan bagi kedua-dua Parti Bersatu Sabah (PBS) dan GRS merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
“Saya terharu dengan peluang itu. Ini adalah tanggungjawab yang berat dan bukan satu keistimewaan. Kita akan dapat balik kerusi itu,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili berkata beliau tidak bimbang dengan calon Muda Shahrizal Denci bertanding menentangnya bagi kerusi Kota Marudu, mahupun prospek berdepan bekas ADUN Bandau Wetrom Bahanda.
“Saya tidak mempunyai banyak komen mengenai calon Muda, saya tidak tahu siapa dia. Kita serahkan kepada pengundi. Bagi Wetrom, ini adalah demokrasi. Saya tidak tahu kenapa dia begitu taksub untuk menjadi YB berganda (Ahli Parlimen dan ADUN). Tetapi bagi saya, kita akan terus berjuang.”
– Tv Sabah News