JAS Sabah, kePKAS Bincang penganjuran Hari Alam Sekitar Negara

KOTA KINABALU: Satu delegasi tiga orang daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Persekutuan Sabah telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew pada Isnin bagi membincangkan sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat negeri yang bakal diadakan.

Turut hadir memperkenalkan Pengarah baharu JAS Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali kepada Menteri ialah Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPU) Sabah, Daisy Aloysius. Hadir sama ialah Penolong Kanan Pengarah Utama, Amir Hamzah Musa dan Penolong Kanan Pengarah, Chai Hsieh Nee.

Sambutan tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), EPU Sabah dan JAS Sabah dengan kerjasama Persatuan Pemuliharaan Tanah Bencah Sabah.

“Kami (KePKAS) gembira menyokong Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri. Bagus juga kerana penganjur melibatkan murid sekolah, pelajar universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat untuk turut serta secara aktif dalam program tersebut,” kata Liew yang telah dijemput merasmikan acara itu pada 8 November di Pusat Ramsar Tanah Bencah Kota Kinabalu.

Acara itu akan dimeriahkan dengan aktiviti berjalan kaki dan penanaman semula bakau, pameran kitar semula sisa elektronik (E-Waste), serta program pengumpulan sisa elektronik isi rumah, selain pelbagai aktiviti lain.

Menteri akan turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Melukis Sekolah Rendah, Pertandingan Infografik Sekolah Menengah, Pertandingan Fotografi Awam, serta Pertandingan Kitar Semula Sisa Elektronik untuk institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau juga akan mengambil peluang menyerahkan beg mesra alam (ecobag) kepada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh Sabah.

Dalam pertemuan bersama Liew, Nor Rashidah menjelaskan bahawa HASN merupakan penjenamaan semula dan penambahbaikan daripada Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang telah diraikan setiap tahun di negara ini sejak 1991 dari 21 hingga 27 Oktober bersempena Hari Alam Sekitar Malaysia.

Pengarah baharu itu menerangkan bahawa objektif HASN adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kritikal seperti pencemaran, perubahan iklim dan kepupusan biodiversiti, mendidik masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar, serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar, termasuk pelajar, NGO serta sektor awam dan swasta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal