Jangan diam jika tahu kes dera – Julitah

637fad15 a47e 4059 97ac 9fced5931b4c

KOTA KINABALU: Mangsa keganasan rumah tangga di negeri ini masih memilih memendam penderitaan kerana takut dan malu membuat laporan.

Masyarakat digesa supaya tidak berdiam diri jika mengesyaki penderaan di sekitar, sebaliknya segera melaporkan kejadian itu untuk menyelamatkan mangsa.

54330db8 1416 499f 9da9 3c485c1408d6

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan penurunan kes keganasan wanita di Sabah dari 951 kes pada 2024 kepada 911 kes tahun lalu, termasuk kes keganasan rumah tangga yang menyusut dari 404 kepada 341 kes.

“Bagaimanapun, angka yang direkodkan ini mungkin belum menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar kerana masih terdapat mangsa yang tidak berani tampil membuat laporan disebabkan rasa takut atau malu.

“Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] menyediakan perlindungan undang-undang untuk mangsa keganasan rumah tangga. Malah, undang-undang turut membenarkan mana-mana individu yang mempunyai sebab untuk mempercayai berlakunya keganasan rumah tangga menyalurkan maklumat ke pegawai penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Keluarga Sejahtera, Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Sedunia 2026 di Wisma Wanita.

Beliau menegaskan, usaha membendung gejala itu bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, tetapi memerlukan keprihatinan seluruh masyarakat.

Beliau turut mengingatkan mangsa dan orang ramai yang memerlukan bantuan supaya menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam, atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-261 5999, atau menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Sumber: Pejabat Datuk Julita Majungki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal