Tawau, 5 Julai 2025 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memainkan peranan penting dalam menjayakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI ESSCOM yang berlangsung di Kampung Inderasabah, semalam.
Inisiatif ini membuktikan komitmen IPD Tawau dalam menyokong agenda MADANI yang memfokuskan kepada aspek keselamatan, kepercayaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Kawalan keselamatan sepanjang majlis berlangsung dikendalikan secara tersusun dengan kerjasama Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
Sebagai sebahagian daripada usaha mendekatkan diri kepada komuniti, IPD Tawau turut mengadakan pameran keselamatan, sesi advokasi AMANITA yang memberi tumpuan kepada keselamatan wanita dan keluarga, serta penerangan inisiatif VSP (Volunteer Smartphone Patrol) bagi menggalakkan penglibatan orang awam dalam pencegahan jenayah melalui saluran digital.
Majlis berimpak tinggi ini dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan dihadiri pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pelbagai agensi keselamatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin bersama ketua-ketua bahagian IPD turut hadir memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif yang menekankan aspek keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj Abdul Halim Hj Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin, Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.
Sumber, Kenyataan Media