Inisiatif Sabah First perkasa syarikat tempatan, kurangkan caj simpanan kontena

IMG 20260903 WA0042

KOTA KINABALU: 3 September 2026 – Kerajaan Sabah memperkenalkan dua inisiatif baharu di bawah agenda Sabah First untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dan mengurangkan kos operasi pemain industri logistik.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif berkenaan membabitkan pakej khas pajakan tanah kepada syarikat tempatan di taman perindustrian dan pengurangan caj penyimpanan kontena di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

Menurutnya, pakej khas itu akan dimulakan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), membolehkan syarikat tempatan membuat bayaran pajakan secara tahunan berbanding keperluan menjelaskan keseluruhan pajakan 30 tahun dalam tempoh dua tahun seperti polisi sedia ada.

Langkah itu dijangka membantu syarikat tempatan mengurus aliran tunai dengan lebih baik, dan memudahkan mereka mendapatkan pembiayaan untuk membina kilang atau membeli mesin.

MINDET turut merancang kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk membantu memudah cara keperluan pembiayaan syarikat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, tempoh penyimpanan kontena secara percuma di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dilanjutkan dari tiga ke empat hari mulai 7 September ini.

Untuk hari kelima hingga ketujuh, caj kontena 20 kaki ditetapkan RM8 untuk kontena kosong dan RM16 untuk kontena berisi, manakala kontena 40 kaki dikenakan RM15 dan RM30.

Ewon berkata, kadar baharu itu bertujuan mengurangkan kos pemain logistik, dan menggalakkan pengurusan kontena lebih cekap untuk menangani kesesakan pelabuhan.

Projek pembesaran pelabuhan kini mencapai 65 peratus kemajuan dan dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu kapasiti dan kesesakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal