KOTA KINABALU: 11 Februari 2026 – Situasi tekanan semasa tempoh pendaftaran kursus akademik kini menjadi mudah apabila seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif membangunkan sebuah laman web inovatif dikenali sebagai TimaUMS, bertujuan membantu pelajar menyusun jadual kuliah dengan lebih pantas, teratur dan sistematik.
Pengasasnya, Maverick Hewitt Larsson, 22, merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Kejuruteraan Perisian) di Fakulti Komputeran dan Informatik, UMS. Menurutnya, projek itu adalah usaha beliau sendiri.
“TimaUMS ialah projek peribadi berbentuk laman web yang saya bangunkan untuk membantu pelajar menyusun jadual mereka tanpa perlu melalui proses manual yang memakan masa,” katanya ketika ditemu bual.
Menurut Maverick, idea pembangunan TimaUMS tercetus dari pengalamannya sendiri sebagai pelajar yang sering berdepan kesukaran menyusun jadual, khususnya pada awal kemasukan ke universiti apabila melibatkan subjek elektif dan pertindihan masa.
“Setiap kali menyusun jadual, pelajar perlu semak satu demi satu kursus dan seksyen. Proses ini bukan sahaja mengambil masa, malah mudah berlaku kesilapan. Disebabkan masalah itu, saya membangunkan prototaip pertama pada Januari 2025 sebagai bukti konsep sebelum melancarkan versi laman web pada 2026,” jelasnya.
Beliau berkata, buat masa ini TimaUMS dikhususkan untuk pelajar prasiswazah UMS dan berfungsi sebagai perantara yang memudahkan capaian jadual sedia ada tanpa mengubah data asal universiti.
Dari segi fungsi, pelajar hanya perlu memasukkan kod kursus dan seksyen ke dalam sistem. TimaUMS kemudiannya akan mengakses laman Timetable UMS, mencari maklumat kursus secara automatik dan menyusunnya terus ke dalam jadual pelajar. Beliau menegaskan bahawa semua data jadual adalah milik UMS sepenuhnya, manakala TimaUMS hanya berperanan sebagai medium bagi memudahkan urusan pelajar.
“Disebabkan sistem ini dijalankan oleh komputer, proses carian menjadi jauh lebih cepat berbanding kaedah manual. Pelajar tidak perlu lagi menyemak jadual satu per satu atau mengulang semula kalau berlaku pertindihan masa,” katanya.
Maverick turut memaklumkan bahawa sistem itu merekodkan masa carian bagi setiap kursus. Setakat 10 Februari 2026 jam 3.54 petang, purata masa carian bagi satu kursus adalah sekitar 1.17 saat, menunjukkan kecekapan sistem tersebut dalam menjimatkan masa pelajar.
Mengulas impaknya terhadap komuniti kampus, beliau berkata TimaUMS membantu mengurangkan tekanan dan kekeliruan pelajar, terutamanya ketika tempoh pendaftaran kursus yang sering dianggap mencabar.
“Maklum balas yang saya terima setakat ini sangat positif. Ramai pelajar beritahu mereka dapat jana jadual dengan lebih pantas dan fokus kepada perancangan akademik,” katanya.
Walaupun dibangunkan secara individu tanpa kolaborasi rasmi dengan mana-mana institusi, Maverick mengakui sokongan moral serta maklum balas rakan-rakan pelajar banyak membantu penambahbaikan fungsi dan pengalaman pengguna.
Dari segi kos, beliau menjelaskan pembangunan TimaUMS melibatkan perbelanjaan minimum, terutamanya untuk domain, manakala keseluruhan pembangunan dilakukan sendiri menggunakan kemahiran teknikal, bantuan alat AI dan sumber sedia ada.
“Harapan saya, TimaUMS dapat terus membantu pelajar sebagai alat sokongan akademik yang praktikal. Pada masa sama, projek ini menjadi ruang pembelajaran untuk saya sebagai pembangun muda dan membuka peluang untuk menyumbang lebih banyak kepada masyarakat, khususnya di Sabah,” katanya.
Anak jati Kota Marudu itu kini menetap sementara di Kota Kinabalu dan turut aktif sebagai pembangun projek digital persendirian serta mengurus perkhidmatan sewaan kamera melalui jenama Minkaco Studio.
