Inisiatif MAFFI Tingkatkan Pengeluaran Hasil Pertanian Tempatan

Share the news

oleh David E.G.

KOTA KINABALU: 17 April 2025 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), melalui Jabatan Pertanian (DOA) Sabah, sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan, khususnya tanaman makanan.

Inisiatif-inisiatif tersebut termasuk pemberian subsidi, latihan teknologi pertanian, dan kemudahan pemasaran kepada petani. Program pembangunan tanaman makanan menumpukan kepada padi, kelapa, kopi, buah-buahan, kontan, dan sayur-sayuran. Bantuan yang disediakan merangkumi subsidi pembajakan, pembukaan kawasan pertanian, bahan tanaman berkualiti, input pertanian, sistem pengairan, pusat pengumpulan hasil, stor input, dan mesin pemprosesan huluan.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, sebagai maklum balas kepada pertanyaan ADUN N.41 Liawan, Datuk Anwar Ayuub.

Beliau berkata, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sedang membangunkan 22,146 hektar kawasan sawah padi terbiar di enam daerah, dengan Kota Belud mencatatkan kawasan terluas (8,652 hektar). Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Padi Daerah telah ditubuhkan di setiap daerah untuk memastikan kelancaran pengurusan.

Sementara itu, DOA Sabah juga menyediakan latihan teknologi pertanian, termasuk kerjasama dengan MDEC melalui Initiative Digital AgTech, yang menyediakan sistem Internet of Things (IoT) untuk sistem fertigasi. Sejumlah 1,343 kursus telah dilaksanakan, melibatkan 14,379 peserta dan menghasilkan nilai jualan RM23.95 juta.

Selain itu katanya, program geran seperti Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (RM1.432 juta kepada 63 usahawan) dan Program Geran Agropreneur Muda (bantuan kepada 86 belia) turut diperkenalkan. Program Agropelancongan juga menyokong pengusaha ladang tanaman makanan sebagai tarikan pelancongan, dengan nilai jualan setakat ini mencecah RM2.244 juta. Fokus utama adalah untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian dan membantu usahawan pertanian mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Sabah giat memperkasakan sektor pertanian melalui pelbagai inisiatif untuk membantu petani memasarkan hasil mereka dengan lebih efektif dan menjamin pendapatan yang stabil. Usaha ini termasuk pembangunan aplikasi digital Hub Hasil Pertanian sebagai platform pemasaran dalam talian menggunakan konsep padanan perniagaan (business matching), yang membolehkan petani berhubung terus dengan pembeli.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menjelaskan bahawa MAFFI melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) telah menubuhkan enam Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu, Kundasang (Ranau) dan Telupid. APCC ini menyediakan kemudahan lengkap termasuk ruang pengumpulan, penggredan, penyimpanan sejuk, pembungkusan, pengangkutan, pemunggahan dan pemasaran, membolehkan petani luar bandar memasarkan hasil berkualiti mereka. KPD akan membantu dalam pemasaran semula hasil tersebut. Lima APCC baharu sedang dalam proses pembinaan di Nabawan, Tambunan, Tenom, Penampang (Moyog) dan Tuaran untuk memperluaskan manfaat ini kepada lebih ramai petani kecil.

Selain itu katanya, MAFFI melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyalurkan pelbagai insentif kepada pekebun kecil getah seperti Program Tanam Baru dan Program Tanam Semula Getah Secara Berkelompok. LIGS menyediakan bantuan komprehensif bermula dari pembangunan ladang hingga pokok getah matang dan boleh ditoreh. Pelbagai program latihan dan pembangunan kapasiti turut dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan pekebun kecil, termasuk Kursus Amalan Pertanian Baik dan Latihan Penorehan Secara Berkesan.

Kitingan juga menjelaskan, bahawa untuk menjamin pasaran yang stabil, LIGS menyediakan perkhidmatan pembelian getah terus dari ladang demi memastikan semua hasil getah yang dikeluarkan dapat dipasarkan. Inisiatif-inisiatif ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sabah dalam meningkatkan taraf hidup petani dan memajukan sektor pertanian negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal