Himpunan aman desak pelaksanaan hak 40% hasil Sabah, tolak janji tanpa batas waktu

Justice4Sabah 40 scaled

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang politik dan masyarakat sipil telah berkumpul di Padang Merdeka pada Jumaat (10 April) susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan hak 40% hasil Sabah.

Ahli politik, aktivis, persatuan dan orang ramai hadir pada perhimpunan aman Justice4Sabah menyuarakan keperluan dana tersebut bagi menangani kemiskinan dan cabaran infrastruktur yang telah lama dihadapi Sabah.

Justice4Sabah 40 2

Antara yang hadir ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Ranau dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Jonathan Yassin, Presiden Kehormat Upko dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Donald Mojuntin serta ADUN Lantikan Datuk Roger Chin.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata himpunan tersebut menjadi platform rakyat menyuarakan tuntutan yang telah lama berlarutan.

“Kami wakil rakyat sudah lama bersuara dan rakyat hanya dapat terjemahkan suara melalui peti undi, tetapi kali ini kita mulakan dengan perhimpunan aman untuk meminta hak kita ditunaikan,” katanya.

Terlebih dahulu, Datuk Roger Chin merujuk kepada kes hak 40% hak Sabah berkata, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa, “Telah berlaku satu pelanggaran perlembagaan. Bukan salah faham dan bukan kelewatan tetapi ia adalah pelanggaran tanggungjawab – suatu keputusan undang-undang.”

“Perlembagaan bukan sekadar dokumen tetapi janji, dan janji yang hanya wujud di atas kertas bukanlah janji sama sekali.

“Sudah terlalu lama Sabah disuruh menunggu dan bersabar, tetapi rakyat Sabah telah menunggu lebih dari 50 tahun dan kita tidak boleh menunggu lagi,” katanya.

Roger menegaskan bahawa janji tidak seharusnya ditangguhkan tanpa batas waktu, tetapi perlu ditunaikan.

Datuk Jonathan Yasin pula mendakwa Sabah tidak menerima pulangan setimpal berbanding hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

“Berpuluh bilion dikutip dari Sabah, tetapi yang dikembalikan jauh lebih kecil walaupun hasil negeri ini besar,” katanya.

Datuk Donald Mojuntin turut menegaskan Sabah tidak seharusnya terus diminta bersabar dalam perkara yang melibatkan hak negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah dilaporkan menggesa Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meletak jawatan berhubung isu tersebut.

Naib Ketua AMK Sabah, Eldridge Laurence Timis, berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diberi ruang bagi mencapai penyelesaian.

Bagaimanapun, Madius dalam reaksinya menolak desakan itu dan menegaskan perjuangan tersebut bukan bersifat peribadi.

“Saya tidak mampu menurut arahan itu kerana perjuangan ini adalah demi hak yang telah termaktub,” katanya.

Kebanyakan penceramah menggesa kerajaan persekutuan untuk meneruskan rundingan dan menyelesaikan bayaran tertunggak dari tahun 1974 hingga 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal