KOTA KINABALU: 28 Julai 2025 – Polis masih giat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian tragis seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Papar, yang mencetuskan pelbagai reaksi dan gelombang solidariti di seluruh negara.
Mangsa, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, merupakan pelajar Tingkatan Satu yang ditemui dalam keadaan parah di kawasan bawah bangunan asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya sekitar jam 1 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah secara menyeluruh dari semua aspek.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Insiden berkenaan menjadi tular di media sosial dan mengundang perhatian ramai apabila dikaitkan dengan dakwaan wujudnya elemen buli di sekolah terbabit.
Keadaan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat, sekali gus mencetuskan tekanan terhadap pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dilakukan secara adil.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, berharap agar kematian anak tunggalnya itu disiasat secara adil dan telus.
Kesedihan keluarga mangsa turut dikongsi ribuan rakyat Malaysia yang menzahirkan sokongan menerusi platform media sosial menggunakan tanda pagar #JusticeForZara.
Sejak minggu lalu, tanda pagar itu terus mendapat perhatian netizen sebagai simbol solidariti terhadap keluarga Zara dan desakan agar keadilan ditegakkan.
Polis mengesahkan bahawa perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Dalam masa sama, orang awam diminta memberi ruang kepada proses siasatan serta menyalurkan sebarang maklumat sahih kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
Sumber: Berita Harian