KOTA KINABALU: 5 Januari 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa, dilantik sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, diberi amanah menerajui dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) strategik milik Kerajaan Negeri Sabah.
Hazem menyifatkan pelantikan tersebut sebagai amanah besar untuk memperkukuh tadbir urus korporat dan merangsang pertumbuhan berterusan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Katanya, amanah itu menguatkan tekad untuk memastikan kedua-dua GLC itu terus mencatat kecemerlangan, berdaya saing dan memberi peluang optimum kepada Sabah.
Menurutnya lagi, keutamaan akan diberikan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengukuhan tadbir urus dan penerokaan peluang baharu untuk melonjakkan nilai syarikat, selari dengan agenda pembangunan ekonomi Sabah.
Sebagai langkah awal, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke pejabat Sawit Kinabalu dan menerima taklimat mengenai operasi serta hala tuju syarikat dari pihak pengurusan.
