Hari penamaan calon Penampang disapa banjir, calon PRU diminta turun padang
PENAMPANG: Beberapa kampung di Penampang dilanda banjir selepas hujan berterusan melanda daerah ini pada waktu petang Sabtu. Keadaan ini menyebabkan beberapa program kempen daripada calon pilihan raya yang bermula hari ini, dibatalkan.
Seseorang bernama Maurice L dari Kolopis bimbang jika air meningkat naik di jambatan Kolopis, dia tidak akan dapat menghantar calon Warisan dari Moyog turun ke Bandar Donggongon untuk program kempen.
“Program hari ini pasti rosak kerana air meningkat naik di kebanyakan kampung yang topografinya rendah seperti di Kolopis dan Kibabaig,” katanya dalam entri di grup aplikasi Whatsapp.
Sementara itu, Pemimpin unit pembangunan masyarakat Moyog Joseph Suleiman berkata kampung di Sugud, Penampang Proper, Kolopis, Pogunon dan beberapa kawasan tanah rendah sudah dinaiki air.
Beliau menerima banyak aduan dan panggilan kawasan yang dilanda banjir.
“Sungai Moyog sehingga jam 5 petang sudah hampir penuh. Air itu akan tumpah di sepanjang kawasan tanah rendah. Kami mahu penduduk yang tinggal di kawasan ini untuk sentiasa berjaga-jaga dan pindah ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi Tv Sabah, Sabtu.
Secara berseloroh, beliau mahu calon-calon parti yang bertanding dalam pilihan raya parlimen kali ini, keluar ke kawasan dilanda banjir untuk membuktikan mereka mahu bersusah-susah bersama rakyat.
“Tunjukkan kamu prihatin dengan kesusahan penduduk Penampang yang dilanda banjir hari ini dengan turun membantu mereka. Dengan itu mungkin kamu akan diundi oleh pengundi di sini,” katanya.
Hari ini adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-15 di seluruh negara.
Dewan Kebudayaan Penampang pada waktu pagi gemurah dengan penyokong empat calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Namun bermula jam 1 petang, hujan lebat melanda sehingga jam 6 petang. Dalam masa beberapa jam, banyak kampung dilanda banjir.
Bencana banjir adalah masalah yang sering menghantui penduduk Penampang yang mahu satu penyelesaian kekal dilakukan di daerah ini untuk menamatkan penderitaan mental dan kerugian harta benda mereka.
Empat calon yang akan bersaing merebut kerusi parlimen Penampang ialah bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking (Warisan), Kenny Chua calon dari Gabungan Rakyat Sabah/ Barisan Nasional (GRS/ BN) dan Richard Jimmy (Bebas).
– Tv Sabah News
0 Comments