Harga minyak global melonjak

Crude Oil Price

2 Mac 2026

Peningkatan konflik di Timur Tengah dijangka memberi impak ketara terhadap harga minyak global. Berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, dan tindak balas Tehran, harga niaga hadapan minyak mentah melonjak lebih 8%. Gangguan terhadap penghantaran melalui Selat Hormuz, laluan lebih 20% bekalan minyak global, telah menyebabkan pemilik kapal dan syarikat minyak menggantung operasi.

Menurut The Moscow Times, Kementerian Luar Negeri Rusia turut mengecam serangan ke atas Iran dan mendakwa Amerika Syarikat bersama Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan berusaha menakluki sebuah negara yang tidak tunduk kepada mereka. Pakar hubungan Rusia-Iran, Nikita Smagin berkata, tidak syak lagi Putin mengambil hal itu secara peribadi apabila dia menyamakan keadaan itu dengan pembunuhan sekutu Rusia yang lain seperti Muammar Gaddafi dari Libya pada tahun 2011 dan Saddam Hussein dari Iraq pada tahun 2006.

Smagin berkata, kebimbangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, bukanlah mengenai kejatuhan rejim tetapi lebih kepada portfolio pelaburan yang besar termasuk koridor Utara-Selatan, laluan kereta api yang dirancang bernilai berbilion dolar antara Rusia dan Iran melalui Caucasus Selatan, dan perjanjian bernilai USD25 bilion untuk membina empat reaktor nuklear di selatan Iran. Dan baru bulan lepas, duta Iran berkata beliau telah menerima isyarat bahawa Rusia merancang untuk mengembangkan kehadirannya dalam industri minyak dan gas negara itu. Jika perubahan rejim atau jika berlaku ketidakstabilan di Iran, semua projek berada dalam bahaya.

Sementara kerosakan masih dinilai di seluruh Iran pada hari Sabtu, kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz mula melaporkan bahawa mereka diarah berpatah balik oleh pihak berkuasa Iran. Sekiranya penutupan Selat Hormuz berlaku, ia akan menghantar gelombang kejutan melalui pasaran dan menaikkan harga minyak.

Pada hari Ahad, anggota kartel minyak OPEC+ mengumumkan peningkatan dalam kuota pengeluaran yang akan berkuat kuasa pada bulan April, tetapi penganalisis berkata peningkatan itu tidak akan mencukupi untuk mengimbangi kenaikan harga yang dijangkakan.

Semua itu akan menjadi berita baik bagi Rusia, yang ekonominya sangat bergantung kepada hasil dari eksport minyak dan cenderung mendapat manfaat dari harga minyak yang lebih tinggi di pasaran antarabangsa. Lebih-lebih lagi, Iran adalah salah satu pembekal minyak terbesar ke China, pasaran di mana Rusia cuba melonjak ke hadapan. Malah Rusia boleh mendapat manfaat ketara dalam jangka pendek melangkaui Iran dalam eksport ke China.

Penganalisis Citi meramalkan harga Brent akan kekal antara USD80 dan USD90 setong dalam jangka pendek, dengan potensi penurunan kepada USD70 jika keadaan reda. Goldman Sachs menganggarkan premium risiko sebanyak USD18 setong dalam harga minyak mentah. Mereka juga berpendapat bahawa jika 50% aliran Selat Hormuz bertahan selama sebulan, premium ini boleh berkurang kepada USD4. Namun, mereka memberi amaran harga boleh meningkat lebih ketara jika pasaran memerlukan premium risiko yang lebih berterusan.

Wood Mackenzie menjangkakan harga minyak berpotensi melebihi USD100 setong jika gangguan terhadap aliran kapal tangki melalui Selat tidak dipulihkan dengan cepat. Mereka menekankan bahawa gangguan ini mewujudkan kejutan bekalan berganda, menyekat eksport semasa dan menyekat akses kepada kapasiti lebihan OPEC+.

Walaupun OPEC+ telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari untuk April, penganalisis Societe Generale menjangkakan lonjakan harga jangka pendek diikuti oleh penarikan separa, bergantung pada keyakinan pasaran terhadap kesinambungan bekalan.

Kesimpulannya, konflik di Timur Tengah dijangka mewujudkan ketidaktentuan yang besar dalam pasaran minyak global, dengan potensi kenaikan harga yang ketara dan impak yang luas terhadap ekonomi dunia.

Sumber: Beberapa berita antarangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal