Monday, December 23, 2024

Hanya 21 wanita bertanding PRU15 di Sabah

Datin Maizatul Akmam Alwi calon BN Lahad Datu

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini masih gagal mencapai sasaran meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Kali ini PRU menyaksikan 21 atau hanya 17.6 peratus wanita daripada 119 calon di Sabah akan bertanding merebut kerusi di Dewan Rakyat dengan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan mempunyai jumlah terbanyak iaitu masing-masing tujuh dan enam calon.

Parti Pejuang, Bebas dan Barisan Nasional (BN) meletakkan dua calon manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Kebajikan Demokratik Sosial atau KDM, masing-masing seorang calon wanita.

Calon PH ialah Rowindy Lawrence Odong (Kimanis), Grelydia Gilod (Keningau), Noorita Sual (Tenom), Liau Fui Fui (Batu Sapi), Vivian Wong Shir Yee (penyandang Sandakan), Datuk Christina Liew Chin Jin (penyandang Tawau) dan Noraini Abdul Ghapur (Kalabakan).

Warisan
menampilkan Isnaraisah Munirah Majilis (Penyandang Kota Belud), Jo Anna Sue Henley Rampas (Tuaran), Amanda Yeo Yan Yin (Kota Kinabalu), Siti Noorhasmawaty (Pensiangan), Rowena Rasid (Beluran) dan Mazliwati Abdul Malek (Kinabatangan).

Pejuang meletakkan Nur Alya Humaira Usun Abdullah (Kudat) dan Nur Aini Abdul (Kalabakan); Bebas pula Peggy Chaw Zhi Ting (Tenom) dan Lita Tan Abdullah (Sandakan); BN mempertandingkan Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort) dan Datin Maizatul Akmam Alawi (Lahad Datu); GRS Yee Tsai Yiew (Kota Kinabalu); dan KDM Datuk Johair Mat Lani (Beaufort).

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada 1,689,387 pengundi di Sabah, 49.36 peratus adalah pengundi wanita (833,847) berbanding 50.64 peratus (855,540) lelaki.

Dengan tujuh daripada 24 kerusi yang mereka tandingi, PH memberikan 29.1 perwakilan wanita manakala Warisan 24 peratus.

Pemimpin dari pelbagai parti politik di Malaysia semuanya sehaluan dalam komitmen mereka untuk mencapai sasaran meletakkan 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya, seterusnya meningkatkan perwakilan wanita dalam badan perundangan negara.
Bagaimanapun, banyak parti politik tidak mencapai jumlah itu walaupun mereka berjanji untuk memberi eluang sama rata dan mewujudkan akses kepada peluang sama rata kepada wanita.

Seperti yang dilaporkan Bernama baru-baru ini, sejak penubuhan Malaysia, bilangan pemimpin wanita dalam badan perundangan tidak pernah melebihi 15 peratus, dengan yang tertinggi ialah 14.86 peratus di Dewan Rakyat, 11.42 peratus di Dewan Negara dan 11.57 peratus dalam dewan undangan negeri.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights