KOTA KINABALU, 30 Dis 2025: STARSabah menyokong penuh kenyataan terbaru oleh Premier Sarawak yang menegaskan bahawa hak sesebuah negeri Borneo ke atas tanah, dasar laut, lapisan bawah tanah, dan pelantar benuanya adalah berasaskan undang-undang dan terma-terma yang tidak boleh diubah dalam pembentukan Malaysia.
“Bagi Sabah, ini adalah asas utama kedaulatan kita dalam Persekutuan dan bukan sekadar hujah perundangan teoritikal. Hak-hak ini merupakan syarat-syarat Sabah untuk bersetuju membentuk Malaysia. Ia bukan hadiah dari Kerajaan Persekutuan mahupun konsesi sementara. Ia adalah hak perlembagaan kekal yang tidak boleh dihapuskan secara unilateral oleh mana-mana Akta Parlimen,” tegas Presiden STARSabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau menegaskan lagi bahawa kedudukan Sabah berdiri atas dasar perlembagaan yang sama dengan Sarawak. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dan Perlembagaan Persekutuan secara jelas mengiktiraf Sabah sebagai rakan kongsi dengan pemilikan mutlak ke atas wilayahnya. Hak-hak ini wujud sebelum Hari Malaysia. Tidak pernah ada referendum awam atau resolusi oleh Dewan Undangan Negeri yang bersetuju untuk menyerahkannya.
Jelasnya, amat penting bagi orang ramai untuk memahami sejarah yang telah disembunyikan. Sebelum Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas sumber minyak dan gasnya. Pada tahun 1969, Kerajaan Sabah telah memeterai perjanjian secara langsung dengan syarikat-syarikat antarabangsa untuk penerokaan, pengeluaran, perlombongan, penyarian dan penjualan petroleum yang telah disari.
“Kita menetapkan royalti pada 12.5 peratus. Kita tidak meminta kebenaran Persekutuan kerana kita adalah dan, sepatutnya masih, pemiliknya menurut Seksyen 24 Ordinan Tanah Sabah dan Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Jeffrey, akta Pembangunan Petroleum 1974 telah diluluskan oleh Parlimen tanpa sokongan Dewan Undangan Negeri. Ia tidak dan tidak boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan telah lama menyebarkan dakwaan kononnya PDA 1974 memindahkan pemilikan minyak dan gas Sabah kepada Petronas. Ini adalah penipuan yang berterusan sehingga ke hari ini!” tegasnya.
Jeffrey menekankan bahawa Undang-undang Persekutuan tidak boleh mengatasi perlindungan perlembagaan tanah negeri. Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan adalah jelas. Sempadan sesebuah Negeri tidak boleh diubah tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri tersebut dan Majlis Raja-Raja.
“Dengan merampas kawalan dasar laut dan lapisan bawah tanah Sabah, Kerajaan Persekutuan secara berkesannya telah mengubah sempadan tanpa persetujuan Sabah. Ini menjadikan pemakaian PDA ke atas wilayah Sabah tidak berperlembagaan dan tidak sah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, akibat penerimaan naratif persekutuan ini sangat memudaratkan. Pada tahun 1976, Sabah telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian yang mengurangkan royalti minyak Sabah kepada hanya 5 peratus. Sementara Petronas dan Kerajaan Persekutuan meraih beratus-ratus bilion dari tanah Sabah, Wilayah ini hanya menerima secubit habuan. Ini telah menukar hak warisan Sabah kepada sisa-sisa.
Justeru katanya, ketidakadilan ini adalah sebab utama Sabah kekal sebagai salah sebuah negeri termiskin di Malaysia walaupun merupakan yang terkaya dalam sumber. Kekayaan Sabah membiayai pembangunan Malaya sementara kemudahan Sabah sendiri seperti jalan raya, sekolah dan hospital parah. Ia merupakan akibat hak perlembagaan Sabah yang terhakis secara sistematik, dan bukan kemalangan ekonomi.
“Integriti wilayah dan hak hasil adalah berbeza tetapi tidak boleh dipisahkan. Apabila kita membenarkan Kerajaan Persekutuan menentukan terma-terma sumber kita, kita menggadaikan maruah kita. Sabah dan Sarawak berkongsi takdir yang sama. Kita adalah Blok Borneo. Bila Sarawak menyuarakan perkara ini, Sabah mesti melakukan lebih daripada sekadar mengangguk. Kita mesti berdiri bahu membahu,” katanya.
Justeru itu katanya, penyelarasan antara negeri Sabah dan Sarawak bukanlah provokasi tetapi kewajipan kepada rakyat kita dan semakan ke atas tindakan Persekutuan yang melampaui batas.
“Kerajaan Persekutuan mesti berhenti bersembunyi di sebalik PDA 1974. Sebuah persekutuan hanya boleh bertahan atas dasar kepercayaan dan kepatuhan kepada dokumen-dokumen pengasasnya. Penafian berterusan hak-hak ini adalah pengkhianatan terhadap konsep Malaysia,” tegasnya.
Jeffrey menekankan betapa pentingnya rakyat Sabah mendidik diri mereka sendiri tentang fakta-fakta ini.
Beliau akhiri dengan menegaskan bahawa, “Kesedaran adalah pelopor kepada perubahan. Kita tidak bermaksud mengancam Persekutuan, tetapi untuk menyelamatkannya. Kita menegaskan fungsinya sebagai perkongsian yang sama rata, bukan pengaturan tuan-hamba penjajah yang nampaknya lebih disukai oleh Kerajaan Persekutuan.”
