Hak hasil 40 peratus belum bayar sedangkan sudah diputuskan di Mahkamah Tinggi – Dr Jeffrey

ddjkmugshot2

KUALA LUMPUR: 26 Februari 2026 – Hak hasil 40% masih lagi belum dibayar, masih tergantung sedangkan ini telah pun dipersetujui dan juga telah diputuskan di dalam Mahkamah Tinggi baru-baru ini. Saya percaya dan saya mintalah Kerajaan supaya memberi keutamaan kepada penyelesaian kepada hak hasil 40% ini kerana ia akan dapat memberi banyak manfaat kepada negara – tegas Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, pada Sesi Petang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, penyelesaian tersebut akan menyelamatkan Malaysia kerana ia akan memberikan kepuasan hati kepada rakyat Sabah, sekali gus akan memberi sokongan kepada kerajaan sekarang untuk kembali menjadi kerajaan dalam tempoh akan datang.

Jelasnya, dengan pembayaran tersebut, kemiskinan, kemunduran, air, elektrik, jalan raya dan sebagainya dapat ditangani dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri itu sendiri.

“Namun, saya melihat sikap penyelesaian ini terlalu negatif. Komiti teknikal dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ada lebih mencari alasan untuk tidak membayar, tidak menyelesaikan sedangkan we should dengan izin be pro-solution,” katanya.

Dr Jeffrey berkata penyelesaian boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, selesaikan apa yang ada sekarang, kemudian pembayaran tahun-tahun yang lepas diselesaikan kemudian.

“Jadi saya minta kerajaan fokus kepada solution. We have a solution actually. Keningau bersedia untuk memberikan taklimat, memberikan cadangan, memberikan tenaga untuk membantu supaya akhirnya hak hasil 40% ini, kewajipan Kerajaan untuk membayar menurut perlembagaan dalam MA63 dapat diselesaikan. Dan ini boleh membawa kebaikan juga untuk membangunkan negara, menyelesaikan masalah yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Beliau menggesa Keningau diberi peluang untuk memberikan taklimat cadangan untuk pembayaran dan penyelesaian hak hasil 40% yang telah menjadi satu isu besar, malah akan menjadi lebih besar lagi di masa pilihan raya akan datang sekiranya diabaikan.

Sebelum itu beliau berkata, Kerajaan Madani berjaya mengutip hasil sebanyak RM11.5 bilion dan membolehkan peruntukan tambahan RM9.64 bilion pada tahun 2025, namun rakyat Sabah masih terkilan dan kecewa kerana tidak diambil kira dalam bajet tembahan itu, sedangkan memerlukan peruntukan untuk pembangunan, menyelesaikan masalah-masalah kemiskinan, kemunduran, air, elektrik, jalan raya dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal