Hajiji Sokong Arahan Peguam Negara Gali Semula Kubur Zara Qairina

KOTA KINABALU: 8 Ogos 2025 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyatakan sokongan terhadap arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina bagi tujuan bedah siasat.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan kesungguhan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus demi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk mangsa dan keluarganya.

“Saya harap semua pihak kekal bertenang, tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi, dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu bukan sahaja menyentuh emosi rakyat Sabah, malah turut mendapat perhatian meluas di seluruh negara termasuk di negara jiran.

“Perkara ini membuktikan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan,” ujarnya.

Kes Zara Qairina mencuri perhatian umum selepas timbul dakwaan bahawa kematiannya berpunca daripada insiden buli, sekali gus mendorong desakan pelbagai pihak agar siasatan dilakukan secara teliti.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal