Hajiji seru rakyat utamakan keselamatan hadapi banjir

photo 6109392877948439935 y

KOTA KINABALU: 20 Februari 2026 – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Haji Noor, menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir yang terjejas di beberapa daerah di negeri ini, khususnya di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan.

Beliau berkata, dalam keberkatan bulan Ramadan, kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Menurutnya, semua agensi keselamatan serta jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan dan penyelamatan selain menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas.

“Kerajaan Negeri juga sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Hajiji turut merayu kepada penduduk di kawasan yang dilanda banjir supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

Beliau menegaskan agar orang ramai tidak mengambil sebarang risiko yang boleh membahayakan nyawa.

Dalam masa sama, beliau mengajak masyarakat supaya bersama-sama mendoakan kesejahteraan mangsa serta menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing sepanjang bulan Ramadan.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.

Sumber: Hajiji Haji Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal