KENINGAU: Seorang pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Dr. Velerie Wheelervon Primus, mencipta kejayaan membanggakan apabila disenaraikan dalam kelompok akhir Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di persada antarabangsa.

Antara lebih 12,000 pencalonan guru di seluruh dunia, beliau berjaya menempatkan diri dalam senarai akhir anugerah berprestij tersebut, sekali gus menjadikannya satu pencapaian luar biasa bagi seorang guru dari kawasan pedalaman.
Lebih membanggakan, ini merupakan pengiktirafan antarabangsa kedua yang diterima beliau pada tahun yang sama sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pendidik inovatif di peringkat global.

Kejayaan Dr. Velerie bukan sekadar diukur melalui pencalonan dan anugerah, sebaliknya turut terserlah melalui usaha beliau mentransformasikan persekitaran pembelajaran di sekolahnya.
Bermula dari sebuah kelas agama yang tidak lagi digunakan dan rumah guru lama yang terbiar, beliau mengambil inisiatif untuk menukar ruang tersebut menjadi sebuah Pusat Pembelajaran Multisensori.
Pusat berkenaan kini dilengkapi dengan bilik terapi, ruang sensori dan kemudahan digital, yang dibangunkan untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif, khususnya untuk murid autisme dan neurodivergen.

Berteraskan pendekatan NeuroArts, Dr. Velerie menggabungkan elemen seni dan neurosains dalam proses pembelajaran bagi membantu murid mencapai regulasi emosi dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
Menurut beliau, lebih 100 murid telah menerima manfaat dari inisiatif tersebut, yang bukan sahaja membantu dari segi akademik tetapi juga perkembangan emosi dan sosial pelajar.
Usaha beliau turut diperluaskan di luar bilik darjah melalui latihan, ceramah dan penglibatan komuniti, yang kini memberi impak kepada guru dan ibu bapa di seluruh negara dalam usaha memperkukuh pendidikan inklusif.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Velerie turut tersenarai sebagai Top 50 Finalist Global Teacher Prize 2026, satu lagi pengiktirafan antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan beliau dalam bidang pendidikan.

Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa inovasi dalam pendidikan tidak semestinya bergantung kepada kemudahan atau lokasi, sebaliknya lahir dari keikhlasan, keberanian dan komitmen seorang pendidik untuk mengubah nasib pelajar.
“I did not wait for the system to change. I became the architect of change because every child deserves a system that understands them,” katanya.
Kisah kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa guru dari kawasan pedalaman Sabah mampu memberi impak di peringkat dunia dan mengangkat martabat pendidikan negara di mata antarabangsa.
