Guru KV Keningau terbit kajian penglibatan sivik pelajar melalui khidmat komuniti

photo 2026 02 25 09 20 35

KENINGAU: Guru Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya menerbitkan kajian ilmiah berjudul “Steel Steady: Community-based learning in TVET to promote civic engagement” di jurnal akademik International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Januari 2026.

Ketua Pengarah kolej Vokasional Keningau, Lumang anak Lang, berkata kajian tersebut dilaksanakan bersama barisan penyelidik terdiri daripada Firdaus Sariman, Nabil Fikri, Azme Budiman, Dr. Sirhajwan Idek dan Ts. Dayang Siti Khatijah melalui projek dikenali sebagai Steel Steady.

Melalui projek itu, pelajar terlibat secara langsung dalam kerja membaik pulih jeriji pintu dan tingkap, kisi-kisi parit, pemegang tangga serta pagar besi di kawasan setempat. Sentuhan tangan pelajar bukan sahaja membaiki struktur fizikal, malah memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.

Menurut beliau, dapatan kajian mendapati penglibatan aktif dan kerjasama berpasukan menjadi faktor paling signifikan dalam membentuk kesedaran sivik pelajar.

“Apabila pelajar melihat sendiri impak kerja mereka kepada komuniti, wujud rasa tanggungjawab dan empati. Proses refleksi selepas aktiviti juga membantu mereka memahami nilai kepimpinan dan semangat kesukarelawanan,” katanya.

Pada 2025, projek tersebut menerima geran RM15,000 daripada Akademi Rakan Muda bagi memperluas pelaksanaan termasuk pembaikan dan naik taraf bangunan kayu di sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Beliau menyifatkan penerbitan kajian itu sebagai bukti komitmen berterusan warga pendidik KV Keningau dalam memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Kajian ini membuktikan TVET bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga insan yang berjiwa besar dan berperanan aktif dalam komuniti. Inilah aspirasi pendidikan negara – melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berkeperibadian unggul,” ujarnya.

Artikel penuh kajian boleh diakses melalui laman sesawang rasmi jurnal berkenaan. https://ijmaberjournal.org/index.php/ijmaber/article/view/3038

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal