Oleh: Nurul.N
KENINGAU: Kejayaan mengolah sisa makanan menjadi sajian bernilai tinggi melayakkan seorang guru seni kulinari dari Kolej Vokasional (KV) Keningau dijemput berucap pada simposium vokasional antarabangsa di Beijing, China.
Erma Gagah berkongsi cara membimbing pelajar mencipta inovasi menerusi kaedah menaik kitar (upcycling) sisa makanan menjadi produk baharu yang selamat dan tahan lama.
Antara inovasi yang menarik perhatian pada Simposium Program Pembangunan Kapasiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu ialah serunding yang diperbuat dari sisik ikan.
Produk ciptaan pelajar KV Keningau itu pernah memenangi pelbagai anugerah dan menjana keuntungan komersial.
“Pengalaman sebagai penyelaras latihan industri dan tenaga pengajar projek tahun akhir membolehkan saya membimbing pelajar menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah memenuhi keperluan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Erma turut berkongsi pendekatan menukar bahan buangan dapur menjadi produk mesra alam, selari dengan tema program yang menekankan kemahiran hijau dan digital dalam TVET.
Bengkel China-Southeast Asia Capacity Development Workshop for TVET Policymakers and Managers di Beijing Normal University itu berlangsung dari 16 Nov hingga hari ini, anjuran kerajaan China bersama beberapa persatuan pendidikan termasuk SEAMEO TED.
Ketua Unit Memorandum Persefahaman (MoU) KV Keningau Shazwani Mohamad Yunit turut menyertai delegasi itu dan melawat beberapa industri di Beijing.
Pengarah KV Keningau Dr Shamsir Nureddin berbangga atas kejayaan dua pendidik itu berkongsi amalan terbaik di peringkat antarabangsa untuk memperkukuh kualiti pendidikan vokasional.
