Guru Besar Memainkan Peranan Penting Di Era Transformasi Digital dan Pendidikan Abad Ke-21

KOTA KINABALU: 17 Julai 2025 – Guru besar memainkan peranan penting dan perlu bersedia menghadapi cabaran serta berinovasi dalam pendekatan mereka di era transformasi digital dan pendidikan abad ke-21.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor berkata, “Kualiti sesebuah sekolah amat bergantung kepada keberkesanan kepimpinan guru besar dalam mentadbir, membimbing warga pendidik, dan memacu pembaharuan pendidikan yang selaras dengan aspirasi negara.”

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan di Majlis Makan Malam Konvenysen Pendidikan Ke-29 dan Persidangan Agung Perwakilan Ke-3 Persatuan Guru Besar Malaysia 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Hajiji berkata, Konvensyen Pendidikan itu merupakan platform penting untuk perkongsian pengalaman, idea dan strategi dalam memacu kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah.

“Saya percaya, melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dalam konvensyen ini, kita dapat meningkatkan lagi kualiti kepimpinan dan pengurusan sekolah. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk melahirkan insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang,” serunya.

Di samping itu Hajijih merakamkan penghargaan kepada peranan Persatuan Guru Besar Malaysia sebagai badan yang sentiasa aktif memperjuangkan profesionalisme kepimpinan sekolah rendah di seluruh negara.

“Guru besar memainkan peranan yang amat penting sebagai pemimpin instruksional dan pentadbir yang mencorakkan hala tuju serta budaya kecemerlangan sekolah,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa serius dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan kemudahan pendidikan di Sabah dipertingkatkan dari masa ke semasa – termasuk dari segi infrastruktur, teknologi digital dan pembangunan guru profesional.

Jelas Hajiji, kerajaan negeri komited dalam pembangunan modal insan tanpa mengira lokasi geografi, justeru melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0, perhatian serius diberikan kepada pembangunan modal insan.

“Sepanjang tahun 2021 hingga 2024, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM848.26 juta yang meliputi pelbagai bantuan pendidikan.

“Manakala sepanjang tempoh 2021-2025, sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan melibatkan peruntukan sejumlah RM164.14 juta yang telah memberikan manfaat kepada 210,918 pelajar.

“Antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT atau BUDI, Program Graduan Rindu Sabah (GRS-SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA).

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah untuk membina sistem pendidikan yang inklusif, progresif, dan mampan,” katanya.

Hajiji berharap, konvensyen itu dapat membuahkan hasil yang cemerlang kepada semua guru besar, sambil menekankan bahawa kehebatan sesebuah sekolah tidak hanya terletak pada kemodenan kemudahannya tetapi pada semangat para pendidiknya yang sentiasa berusaha memperkasakan anak bangsa.

Beliau menyeru, “Justeru, marilah kita berganding bahu, memartabatkan profesion perguruan, memperkukuh peranan guru besar, dan terus berusaha memperkasa anak bangsa.”

Terlebih dahulu, di majlis yang dihadiri sekitar 2,000 guru besar dari seluruh Malaysia itu, Hajiji merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada penganjur majlis, dan bahawa pemilihan Sabah sebagai tuan rumah adalah satu penghormatan yang amat dihargai.

Turut hadir Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhlina sidek; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif; Pengerusi PGBM Sabah, Tuan Nordin Mohd Taip; Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin; dan, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Sabah, Nordin Mohd Taip (tuan rumah konvensyen).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal