Tawau, 6 Julai 2025 (Ahad) – Seorang lelaki direman selepas disyaki mengugut bapa kandungnya dengan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah di daerah ini baru-baru ini.
Kejadian dipercayai bermula apabila suspek bertindak mengamuk sebelum mengacukan parang sepanjang lebih 65 sentimeter ke arah bapanya. Walaupun sempat ditenangkan oleh abangnya, suspek kemudian kembali bertindak agresif dan merosakkan harta benda milik abangnya.
Bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga lain, mangsa telah membuat laporan polis.
Sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Indah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor sebelum berjaya menahan suspek. Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sri Indah dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sumber, Sabah Dimensi