KOTA KINABALU: 11 September 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai wadah politik berbeza daripada parti lain kerana meraikan kepelbagaian etnik sebagai asas perpaduan dan kestabilan negeri.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, berkata kewujudan 33 etnik utama di Sabah mencerminkan wajah sebenar masyarakat majmuk Malaysia yang memerlukan pendekatan politik matang untuk mengekalkan keharmonian.
Beliau menjelaskan bahawa misi utama penubuhan GRS adalah memperkukuh perpaduan rakyat Sabah melalui hubungan harmoni antara kumpulan etnik.
Pendekatan itu bukan sahaja menyatukan parti dan pemimpin, malah turut mengukuhkan ikatan rakyat berbilang etnik di negeri ini.
Menurutnya, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, membuktikan semangat kebersamaan apabila pentadbiran negeri memberi perhatian kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang.
Meskipun berasal daripada etnik Bajau-Samah di Tuaran, Hajiji disifatkan sebagai pemimpin yang meraikan kepelbagaian etnik dengan penuh keprihatinan.
Pendekatan inklusif itu terserlah dalam pentadbiran negeri apabila pelantikan pegawai kerajaan dan pemimpin korporat dilakukan berdasarkan kelayakan, kemampuan serta kemahiran individu, selari dengan aspirasi Wawasan Sabah Maju Jaya.
Beliau menegaskan bahawa GRS telah menamatkan budaya politik lama yang berasaskan dendam serta kecenderungan mengutamakan kelompok mahupun daerah tertentu.
Sumber: Utusan Borneo Online