GRS Tonggak Kestabilan Politik Sabah

KOTA BELUD: 23 Ogos 2025 – Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menegaskan bahawa kestabilan politik yang dimiliki Sabah hari ini mencerminkan kekuatan gabungan berteraskan parti tempatan itu berbanding blok pembangkang.

Menurutnya, usaha Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang pernah bergabung dengan Umno dalam cubaan menjatuhkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Januari 2023 jelas menunjukkan percanggahan pendirian mereka, meskipun sebelum itu lantang mengangkat slogan “Sabah untuk Anak Sabah”.

Beliau berkata tindakan menyokong penubuhan Jawatankuasa Desa Madani (JKDM) turut menggambarkan pendekatan politik pecah dan perintah yang bertentangan dengan kepentingan negeri, berbeza dengan GRS yang memilih untuk menyatukan parti-parti tempatan demi kestabilan.

“GRS berjaya membentuk kerjasama strategik dengan Persekutuan tanpa mengorbankan kepimpinan negeri. Pendekatan ini turut diiktiraf Pakatan Harapan (PH) yang memilih untuk bersama dengan Hajiji bagi memastikan pentadbiran negeri terus stabil,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Kadamaian di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan ahli PBS dan penyokong GRS agar kekal bersatu menjelang pilihan raya negeri yang dijangka diadakan bulan depan, selain menegaskan komitmen gabungan itu memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam mesyuarat itu, beliau memuji kepimpinan PBS Kadamaian yang diketuai Demis Rumanti serta menyifatkan kawasan tersebut sebagai kerusi berpotensi untuk dimenangi pada pilihan raya akan datang.

Sumber: Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal