GRS sokong calon BN di Lahad Datu: Yong
Ryio Kenji
LAHAD DATU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lahad Datu akan sentiasa memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang diketengahkan pakatan itu dalam PRU-15 kali ini, kata Pengerusi GRS Lahad Datu Seri Panglima Yong Teck Lee.
“GRS akan memberi kerjasama kepada rakan parti iaitu BN dan memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu demi kestabilan politik negeri Sabah,” katanya di majlis kesyukuran sempena pelancaran GRS Lahad Datu dan ramah mesra bersama calon BN Lahad Datu di Golden Velvet Ballroon di sini pada malam Sabtu.
Menurutnya, GRS Lahad Datu akan bersama-sama dengan calon BN sepanjang kempen sebagai sokongan moral kepada calon yang bertanding.
Menurutnya, di majlis pelancaran GRS Lahad Datu pada 9 September lalu, lima projek besar diumumkan antaranya mewujudkan Pusat Perubatan Swasta di POIC, mewujudkan pusat bebas cukai, membina lapangan terbang baru, mewujudkan Biomas Sabah dan membina Akademi Maritim.
Selain meraihkan pelancaran GRS Lahad Datu, majlis itu diserikan dengan sesi suai kenal bersama calon Datin Maizatul Akmam Alwi.
Maizatul dalam ucapannya berterima kasih dengan sokongan parti komponen dalam GRS Lahad Datu.
Mengenai projek pembinaan lapangan terbang Lahad Datu yang baru, Maizatul berkata ia adalah agenda utama dalam pembangunan daerah Lahad Datu.
Mengakui banyak projek pembangunan daerah itu yang tergendala susulan berlakunya perubahan dalam pentadbiran kerajaan, beliau berjanji untuk menyelesaikan masalah itu jika diberi mandat.
Sehubungan itu beliau berharap rakan sekutu dalam GRS dapat membantu jentera BN di setiap DUN.
Turut hadir di Majlis itu Mejar (K) Khalid Harun, Ketua UMNO Lahad Datu Suling Bin Isib, Ahli Majlis Tertinggi Parti STAR Sabah merangkap Ketua Bahagian STAR Tungku Nawawie Saking, Naib Presiden Parti STAR merangkap Ketua Bahagian Lahad Datu Mohamad Hamdan Abdullah dan pemimpin parti itu yang lain.
– Tv Sabah News
0 Comments