GRS Sedia Bertanding Secara Solo Pada PRN

Share the news

KOTA KINABALU, 9 Mei: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan kesediaannya untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama bersama parti-parti tempatan yang sehaluan, sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan itu berpegang teguh kepada prinsip bahawa kerajaan negeri wajar diterajui oleh parti-parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat, tanpa menafikan peranan serta kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

“GRS menegaskan bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tunjang kepada kerajaan negeri. Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa PH dan BN telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata kerajaan negeri sedia ada perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan menjadi contoh kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Apa yang diperjuangkan oleh GRS adalah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah. Mengabaikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji memaklumkan bahawa GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi PRN yang akan datang.

Beliau turut berkata GRS akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri pada masa ini bagi mendapatkan pandangan dan pendirian mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal