TENOM: 6 Februari 2026 – Para graduan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA digesa menjadikan pertanian sebagai kerjaya untuk memastikan sektor pertanian di Sabah terus berkembang maju.
“Sekiranya terdapat tanah yang belum diusahakan di kampung halaman, kuatkan tekad dan semangat anda untuk menjadi perintis dan agropreneur muda mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi,” kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-42 Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom di Dewan Serbaguna KPD-OISCAi, hari ini.
Katanya, majlis itu sangat bermakna bagi para graduan yang telah menjalani latihan selama 16 bulan untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang pertanian.
Jelasnya, program latihan yang ditawarkan itu selaras dengan hala tuju Kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan dan keselamatan makanan negara pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, selain mengikuti kurikulum yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, pusat latihan itu juga menerapkan budaya latihan dari OISCA Jepun yang menitikberatkan kemapanan pengurusan pertanian, perhutanan dan konservasi alam sekitar.
Sehubungan itu, kerjasama melalui Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan OISCA International Japan membolehkan pelajar cemerlang dihantar ke Jepun untuk menjalani latihan selama 1 hingga 3 tahun.
“Konsep dan sistem pertanian moden yang dipelajari di sana dapat diaplikasikan setelah kembali ke Sabah,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Datuk Yussof Abdul Manan; dan Konsul Jeneral Jepun, Yamashita Yoshito, serta para jemputan kehormat yang lain.
