GM Klang intai Pantai Timur sebagai depot pengedaran
KOTA KINABALU: Pantai timur Sabah menarik minat ramai pelabur dalam dan luar negara yang mengiktiraf potensinya sebagai titik akses kepada pasaran dan sumber-sumber kaya di wilayah Asean Timur.
Terbaru yang menunjukkan minat itu ialah GM Klang yang berpangkalan di Semenanjung dan mengendalikan operasi Wholesale City GM Klang di negeri Selangor.
Entiti ini terkenal sebagai yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara. Ia juga merupakan entri yang diperakui dalam Buku Rekod Malaysia.
Delegasi GM Klang seramai lapan orang yang diketuai oleh pengarah urusan Dato’ Lim Seng Hock, melakukan lawatan di POIC Lahad Datu di mana ia sedang mempertimbangkan depot pengedaran utama untuk menguasai pasaran di BIMP-EAGA (Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina – Kawasan Pertumbuhan Asean Timur).
Kumpulan itu diiringi presiden pengasas Persatuan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana Sabah (PKS Sabah) Datuk Profesor Foo Ngee Kee.
Ditubuhkan pada tahun 2009 dengan lebih 1,000 kedai di premis dagangannya yang menjual pelbagai jenis barangan, GM Klang telah memantapkan dirinya sebagai pusat dalam negara untuk penyumberan produk.
Dato’ Lim ketika bertemu dengan usahawan Lahad Datu dan pegawai POIC Sabah, berkata kemudahan yang ada di pelabuhan POIC Lahad Datu dan lokasi strategiknya dalam kawasan BIMP-EAGA adalah antara perkara yang meyakinkan syarikatnya untuk melihat potensi pasaran sebanyak RM70 juta.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif POIC Sabah, Datuk Fredian Gan mengalu-alukan minat GM Klang untuk berurusan dengan POIC Lahad Datu dan meramalkan peningkatan aliran kargo yang akan melalui pelabuhannya.
“Kami menantikan prospek untuk memiliki syarikat Malaysia yang mantap dan terkenal untuk menjadikan kami sebagai pusat penyumberan antarabangsa.”
Turut hadir di mesyuarat itu ialah ketua pemasaran dan jualan POIC Sabah, Rose Pun.
POIC Lahad Datu dibangunkan oleh POIC Sabah, sebuah syarikat milik kerajaan. Syarikat itu memberitahu rancangan untuk memanfaatkan lokasi utamanya di BIMP-EAGA serta laluan perkapalan Lombok-Makassar bagi menjadikan POIC Lahad Datu dan pantai timur Sabah sebagai hab logistik BIMP-EAGA.
POIC Sabah bukan sahaja mahu menarik pelabur dalam operasi logistik dan pembekal perkhidmatan, tetapi juga mahu menarik minat kilang luar negara yang ingin menggabungkan sumber seperti rumpai laut, mineral, minyak pal, hasil laut atau menyediakan kilang pemprosesan atau pembungkusan.
– Tv Sabah News
0 Comments