Gesaan tindakan susulan gambar burung terancam

PENAMPANG: Persatuan Pelancongan Penampang baru-baru ini menerima sebuah gambar yang menyayat hati dari seorang penduduk tempatan, menunjukkan beberapa ekor burung, antaranya dipercayai spesies yang jarang ditemukan dan mungkin terancam, termasuk Barbet dan Asian Blue Fairy.

Menurut kenyataan persatuan yang dikongsikan menerusi WhatsApp, burung-burung yang terkenal dengan kecantikan dan kepelbagaian warna, merupakan sebahagian daripada khazanah warisan yang memainkan peranan alam semulajadi kawasan itu.

“Burung-burung berfungsi sebagai penunjuk kesihatan hutan kita, dan kehadiran mereka sering menandakan ekosistem yang sihat. Apabila populasi burung berkembang, ini biasanya petanda bahawa persekitaran di sekitar kita masih utuh. Namun, jika spesies burung mula menghilang, ini adalah isyarat jelas bahawa keseimbangan alam semula jadi sedang terancam.”

Berikutan situasi yang membimbangkan itu, Persatuan Pelancongan Penampang menyeru agar sebuah Kempen Kesedaran Burung dilancarkan dengan segera. Inisiatif itu bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai pentingnya memelihara spesies burung tempatan dan menjaga kecantikan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan Penampang.

“Melindungi hidupan liar, termasuk spesies burung yang luar biasa ini, adalah penting untuk kesejahteraan hutan kita dan, akhirnya, masa depan kita.”

Persatuan itu menggesa penduduk dan pelawat agar bekerjasama dalam memastikan kelangsungan biodiversiti Penampang dan mengambil tindakan untuk melindungi alam sekitar demi generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal