KUALA LUMPUR: 3 Februari 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Penguatkuasaan berjaya memberkas satu warganegara Malaysia dan satu warganegara Bangladesh yang dikenali sebagai ”Geng Sojul” kerana disyaki sebagai transporter bagi sindiket penyeludupan migran di sekitar Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026. Turut ditahan, 20 warganegara asing yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.
Serbuan pertama dijalankan di kawasan parkir pasar raya, Jalan Kuchai Lama, di mana dua kenderaan, masing-masing jenis pacuan empat roda dan SUV, dipintas untuk pemeriksaan. Tujuh warganegara Bangladesh dan seorang warganegara Myanmar yang dipercayai sedang dipindahkan ke lokasi singgahan, ditahan.
Operasi susulan dilakukan di sebuah kondominium berhampiran yang disyaki dijadikan rumah persembunyian dan pusat singgahan sindiket. Seramai 12 lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan, dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di Selatan dan sekitar Lembah Klang.
JIM turut menyita dua buah kenderaan, beberapa pasport Bangladesh bersama wang tunai RM82,100, dan mata wang asing USD3,700 yang dipercayai hasil kegiatan penyeludupan. Kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak Disember 2025 dan menawarkan perkhidmatan membawa masuk migran menggunakan laluan negara ketiga sebelum memasuki Malaysia melalui sempadan Kelantan. Migran kemudiannya dibawa ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi akhir. Setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM12,000, dengan keuntungan sindiket dianggarkan mencecah RM1.2 juta sepanjang tempoh operasi.
Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperketatkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
