Tawau, 9 Julai 2025 – Seorang lelaki berjaya ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di daerah Tawau. Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya, sebelum didatangi oleh suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin, suspek pada awalnya bertanyakan arah kepada mangsa sebelum menunjukkan kemaluannya di tempat awam. Kejadian tersebut menyebabkan mangsa terkejut kemudian melarikan diri ke kawasan berhampiran rumahnya dan sebelum melaporkan insiden kepada pihak berkuasa.
Sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai segera dikerah untuk mengesan dan menahan suspek. Kurang daripada 24 jam, lelaki berumur 30 tahun itu berjaya ditangkap di sebuah rumah di kawasan Merotai, Tawau. Pemeriksaan badan terhadap suspek tidak menemui sebarang barang berbahaya, bagaimanapun kenderaan pacuan empat roda yang digunakan telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). Pihak berkuasa turut menegaskan komitmen mereka dalam membanteras kes keganasan seksual terhadap golongan bawah umur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Sumber, Kenyataan IPD Tawau