KOTA KINABALU: 01 Mac 2026 – Pertandingan Gaman Got Talent 2026 berjaya mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda apabila menyaksikan persaingan sengit antara 20 finalis dalam peringkat Talent yang berlangsung di Poseidon Waterfront pada 27 Mac lalu.
Christopher Cheng Teck Yi, 18, muncul sebagai peserta terbaik dalam peringkat tersebut menerusi persembahan tarian kontemporari yang memukau. Aksi penuh ekspresi serta penguasaan pentas yang mantap berjaya memikat hati barisan juri, sekali gus menyerlahkan potensi besar beliau dalam bidang seni tari.

Tempat kedua dalam peringkat Talent diraih oleh Sabahuddin Bin Syamsuddin Muhammad Sadiq, 27, dari Labuan menerusi persembahan rap bertenaga yang mencuri perhatian penonton. Kepelbagaian rima serta lirik kreatif menyerlahkan keunikan bakat beliau dalam genre muzik tersebut.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Zac Bin Jas melalui nyanyian lagu “Aishu No Casablanca”, versi Jepun bagi lagu popular “Casablanca”, dengan interpretasi unik serta kekuatan vokal yang mengagumkan.

Selain kategori utama, pertandingan ini turut mengiktiraf bakat dalam kategori sampingan apabila Abqari Bin Asri dinobatkan sebagai Mr Popular berdasarkan undian tertinggi penonton, manakala Kimideshu memenangi anugerah Best Costume hasil rekaan kostum yang kreatif dan menarik.
Ketua juri, Clarice John Matha, memuji pertandingan tersebut kerana berjaya mengetengahkan bakat terpendam dalam kalangan peserta, namun menekankan keperluan penambahbaikan dari segi keyakinan diri, disiplin serta pembentukan personaliti di atas pentas.
Juri kedua, Dabra Sia, menyifatkan keseluruhan pertandingan berjalan lancar walaupun terdapat segelintir peserta yang kurang bersedia, di samping memuji komitmen krew dan jawatankuasa penganjur.
Sementara itu, juri ketiga merangkap jurulatih vokal, Rolland Rhowell, menyatakan program ini merupakan platform terbaik untuk peserta menyerlahkan bakat, selain memuji pengurusan acara yang tersusun termasuk sesi latihan dan raptai yang mencukupi.
Pertandingan ini akan diteruskan dengan peringkat separuh akhir pada 11 April 2026, diikuti Grand Final pada 25 April 2026, jam 7.00 malam di lokasi yang sama.

Gaman Got Talent 2026 dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam mencungkil serta memperkasa bakat baharu, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk terus bersinar dalam industri seni tanah air.
