TAMBUNAN: 30 Ogos 2025 – Kumpulan muda Funkafize bersedia mencipta sejarah apabila melangkah ke pentas akhir Rockfest 2025, acara anjuran Rockschool Asia yang menghimpunkan bakat antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Hong Kong, China dan Australia.
Acara berprestij itu berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), pusat seni persembahan yang terkenal sebagai gelanggang artis terkemuka dunia, bermula 5 hingga 7 September ini.
Funkafize, sebuah kugiran yang dianggotai anak-anak muda, lahir daripada House of Music Arts – Music Studio, di bawah bimbingan Arddley Nicholas (Pengarah) dan Nick Auddrey Nicholas (Ketua Muzik Moden).
Anggotanya terdiri daripada murid sekolah, iaitu Aubedient Bede (keyboard), Noah Nathan Joseph (keyboard sokongan), Caydenchen Geordan Muhaidi (drum), Adelle Pearl Alexcander (gitar elektrik), Joel Nelson (bass, ketua kumpulan), Olanda Iva Nelson (vokal) serta Mohammad Nazril Ariel (vokal). Hampir semua masih di Tingkatan Dua kecuali Joel yang kini di Tingkatan Lima.
Kejayaan mara ke peringkat akhir dianggap pencapaian luar biasa, setelah menewaskan ribuan penyertaan melalui penilaian video dan uji bakat langsung.
Hanya lima kumpulan terbaik dipilih untuk beraksi di pentas utama, termasuk Funkafize.
Selain persembahan berkumpulan, seorang lagi bakat cilik dari House of Music Arts, Cohen Tyler Jastinus, turut melakar kejayaan apabila terpilih ke pentas akhir kategori solo drum peringkat 1–2. Cohen yang baru berusia tujuh tahun digelar sebagai “drum prodigy” dengan potensi besar untuk mencorakkan masa depan muzik, khususnya dalam permainan drum.
Kemunculan Funkafize dan Cohen di Rockfest 2025 dijangka menjadi tumpuan, sekaligus mengangkat generasi baharu pemuzik tempatan, khususnya dari Tambunan, Sabah, ke persada antarabangsa.