SANDAKAN: 24 Januari 2026 — Pertubuhan pemuliharaan marin, Friends of Sea Turtles Education & Research (FOSTER), terus komited melindungi penyu di Pulau Libaran sejak memulakan operasi di kawasan itu pada 2013, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan dana, isu penyeludupan dan tahap penerimaan komuniti setempat.
Presiden FOSTER, Alexander Yee, berkata sepanjang lebih 13 tahun pelaksanaan projek pemuliharaan tersebut, antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan melepaskan lebih 48,000 anak penyu ke habitat semula jadi hasil pemantauan dan perlindungan berterusan.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual sempena FOSTER Annual Review dan Mini Concert yang berlangsung pada 24 Januari 2026 lalu di Mari-Mari Cultural Village, sebagai pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej pemuliharaan kepada masyarakat.
Menurut Alexander, cabaran terbesar pada peringkat awal bukan sahaja melibatkan aspek kewangan, tetapi juga usaha mengubah pemikiran penduduk kampung, khususnya berkaitan amalan pengambilan telur penyu yang telah lama menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan komuniti setempat.
“Sebelum FOSTER menjalankan aktiviti di kawasan tersebut, cara hidup penduduk kampung tertumpu kepada aktiviti perikanan dan pengutipan telur penyu untuk dijual di pasaran terbuka, yang telah menjadi amalan turun-temurun,” katanya.
Selain isu penyeludupan dan pengambilan telur, beliau berkata aktiviti perikanan turut memberi risiko besar kepada kelangsungan hidup penyu.
“Penyu, seperti manusia, perlu timbul ke permukaan laut secara berkala untuk bernafas, biasanya setiap 45 minit hingga satu jam. Namun, perlanggaran dengan enjin bot nelayan sering berlaku dan boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian,” jelasnya.
Bagi menarik perhatian masyarakat awam, FOSTER memilih muzik sebagai wadah dan medium yang berpengaruh memandangkan ia mempunyai capaian audiens yang luas.
“Kerja pemuliharaan seperti rondaan pantai, pembersihan sampah dan pengumpulan telur penyu mungkin dilihat membosankan oleh orang awam. Oleh itu, pendekatan melalui muzik digunakan bukan sekadar untuk hiburan, tetapi bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan penyu dan hidupan laut,” katanya.
Pendekatan tersebut diperkukuhkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemuzik jazz terkenal, Jeremy Monteiro, dan FOSTER, yang disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai.

Seiring tempoh MoU yang berbaki lima tahun lagi, impian terbesar FOSTER adalah untuk melihat lebih ramai penduduk kampung memahami dan menyokong usaha pemuliharaan yang dijalankan.
Alexander berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, usaha berterusan ini mampu meningkatkan jumlah pelepasan anak penyu kepada antara 55,000 hingga 60,000 ekor ke habitat semula jadi.
