Oleh: Roodwill
Menurut pengarah dan penerbit Moonstar Motion Picture & Entertainment, Eddy Thomas, jawapannya mudah, penggiat filem tempatan masih takut untuk berubah.
“Kalau kita benar-benar mahu maju, kita kena berani berubah,” tegasnya selepas ditemui Wartawan selepas Bengkel Dari Skrip ke Pawagam anjuran Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA).

Ilmu sahaja tidak cukup
Bagi Eddy, bengkel sebegini memberi pendedahan berharga. Namun, bagi mereka yang serius menceburi industri, perkongsian pengalaman sahaja tidak memadai.
“Saya memperoleh sedikit ilmu melalui penceramah. Tapi apa yang saya perlukan sebenarnya ialah bimbingan berterusan kerana saya bercita-cita menjadi pengarah filem.”
Katanya, penggiat baharu memerlukan pendedahan praktikal, bukan sekadar teori. Mereka perlu memahami proses dari awal penulisan skrip sehinggalah karya itu berjaya dibawa ke pawagam.
“Saya mahu belajar langkah demi langkah. Pengalaman seseorang memang memberi inspirasi, tetapi tunjuk ajar lebih penting untuk melahirkan tenaga kreatif yang benar-benar memahami industri.”
Semuanya bermula dengan cerita, bukan skrip
Ramai yang menganggap skrip sebagai permulaan. Namun Eddy berpandangan sebaliknya: sebelum skrip ditulis, perlu ada cerita yang kukuh.
“Sinopsis ialah asas ‘resipi’ kepada sesebuah cerita. Tanpa sinopsis, tidak akan wujud jalan cerita yang jelas.”
Beliau mengibaratkannya seperti membuat kopi:
“Jika kopi tiada gula, rasanya tawar. Begitu juga filem, tanpa sinopsis yang kukuh, cerita itu tidak mempunyai asas.”
Apabila skrip bertukar tangan
Setelah skrip siap, ia memasuki fasa baharu yang melibatkan penulis, pengarah dan penerbit.
Eddy menjelaskan, penulis berhak menghargai karyanya. Namun apabila hak skrip dijual, perubahan kadangkala tidak dapat dielakkan demi memastikan filem itu mampu memenuhi kehendak pasaran.
“Penerbit melaburkan modal besar. Jika mereka mengikut skrip asal seratus peratus, mungkin filem itu tidak mampu pergi lebih jauh.”
Namun beliau menegaskan, perubahan perlu dibuat dengan persetujuan penulis sebagai menghormati hak cipta dan idea asal.
“Penerbit boleh berkata,‘Ini karya asal awak. Saya menghargainya. Tapi saya perlu buat sedikit perubahan supaya filem ini lebih sesuai dengan pasaran.’”
Katanya, amalan ini lumrah dalam industri filem antarabangsa.
Penulis penting, bukan satu-satunya penentu
Ketika penceramah bengkel menyatakan bahawa di Korea penulis dianggap “raja”, Eddy bersetuju, tetapi tidak sepenuhnya.
“Skrip yang baik tidak semestinya menjamin kejayaan filem di pawagam.”
Katanya, jika sebuah skrip yang bagus gagal menarik penonton, siapa harus dipersalahkan?
“Tanggungjawab itu bukan terletak kepada pengarah sahaja, tetapi juga kepada penulis kerana keseluruhan cerita berpunca dari skrip yang dihasilkannya.”
Kejayaan filem bergantung kepada gabungan semua elemen jalan cerita, lakonan, pengarahan dan penerimaan penonton.
Setiap negara ada formula tersendiri
Eddy melihat setiap industri filem mempunyai pendekatan berbeza mengikut pasaran masing-masing.
Di Amerika Syarikat, penerbit bukan sahaja menilai skrip, tetapi juga nilai komersial pelakon.
“Di sana, pelakon yang mempunyai nama besar mampu menarik penonton ke pawagam. Penerbit sanggup melabur kerana yakin dengan nama tersebut.”
Mengenai kejayaan filem Korea, Eddy mengakui ia berjaya mempertahankan identiti tempatan. Namun katanya, “Tidak semua filem Korea mampu menembusi pasaran global seperti Hollywood.”
Baginya, tiada formula paling tepat yang penting ialah memahami kehendak penonton dan menghasilkan karya yang memenuhi jangkaan mereka.
Di mana kedudukan filem Sabah?
Dari pengalamannya sebagai pelakon dan penggiat industri, Eddy melihat masih wujud jurang yang perlu dirapatkan.
“Terus terang saya katakan, kadang-kadang industri filem Sabah seolah-olah dipandang seperti ‘anak tiri’. Imej dan kedudukannya masih jauh jika dibandingkan dengan industri filem arus perdana.”
Menurutnya, ini bukan berpunca dari bahasa atau budaya, tetapi kekuatan jalan cerita.
“Jika penerbit membelanjakan berjuta-juta ringgit tetapi jalan ceritanya tidak menarik, akhirnya mereka akan mengalami kerugian.”
Justeru, penggiat filem Sabah perlu mempelajari pendekatan industri di Kuala Lumpur khususnya dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai komersial tanpa mengorbankan identiti.
Bahasa bukan penghalang
Eddy menegaskan bahawa kejayaan sesebuah filem tidak ditentukan oleh bahasa, sebaliknya kekuatan cerita.
“Lihat Korea mereka menggunakan bahasa Korea. Indonesia menggunakan bahasa Indonesia. India menggunakan bahasa mereka sendiri. Namun filem-filem mereka tetap diterima kerana mempunyai jalan cerita yang kuat.”
Filem perlu membawa penonton merasai emosi
Selain jalan cerita, filem juga perlu membawa penonton melalui pelbagai emosi.
Eddy mengambil contoh filem Bollywood:
“Dalam sebuah filem, mereka mempunyai unsur jenaka, percintaan, konflik, aksi dan mesej yang jelas. Itulah sebenarnya ‘resipi’ sebuah filem.”
Beliau menjelaskan elemen cinta tidak semestinya antara pasangan:
“Cinta boleh menjadi kasih sayang dalam keluarga, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada negara atau cinta kepada masyarakat.”
Katanya, elemen sebegini mampu menyentuh emosi penonton sehingga mereka mengaitkan jalan cerita dengan pengalaman hidup sendiri.
“Apabila penonton pulang dari pawagam, mereka masih mengingati cerita itu. Ada yang menangis kerana mengaitkannya dengan pengalaman hidup mereka sendiri.”
“Filem ialah cerminan kehidupan manusia penuh suka dan duka, kejayaan dan kegagalan.”
Cabaran terbesar bukan sekadar modal
Meskipun melihat masa depan industri filem Sabah dengan keyakinan, Eddy mengakui banyak cabaran perlu diatasi.
“Cabaran paling besar ialah modal.”
Katanya, ramai anak muda Sabah mempunyai idea dan bakat besar, tetapi tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menghasilkan filem berkualiti.
“Selain itu, mereka juga masih kekurangan latihan dan pendedahan kepada industri yang lebih besar.”
Namun beliau percaya cabaran itu dapat diatasi jika penggiat tempatan berani melangkah keluar dari zon selesa.
“Kalau benar-benar mahu maju, kita perlu menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia. Kita perlu meruntuhkan tembok yang memisahkan industri filem Sabah dengan industri filem nasional.”
Bukan sekadar filem Sabah
Impian Eddy bukan sekadar melihat lebih banyak filem diterbitkan di Sabah, tetapi karya dari Sabah diterima seluruh rakyat Malaysia.
“Saya tidak mahu menghasilkan filem yang hanya dikenali sebagai ‘filem Sabah’. Saya mahu menghasilkan filem Malaysia yang turut menampilkan bakat dari Sabah.”
Beliau mahu menggabungkan pelakon dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Kita semua ialah rakyat Malaysia. Orang di Semenanjung mempunyai hak untuk berkarya, begitu juga kita di Sabah.”
Katanya, dunia seni tidak sepatutnya dibatasi oleh sempadan negeri.
Industri berkembang apabila peluang diberikan
Selain modal, Eddy percaya pembangunan industri bergantung kepada kesediaan membuka ruang kepada bakat baharu.
“Saya sendiri pernah melalui pengalaman dalam industri. Saya lihat ramai anak muda sekarang sebenarnya mempunyai potensi. Mereka cuma memerlukan peluang dan bimbingan.”
Beliau berharap lebih ramai penggiat industri berkongsi pengalaman dengan generasi baharu.
“Apa sahaja ilmu atau pengalaman yang kita ada, kita perlu berkongsi. Barulah industri ini boleh berkembang.”
Beliau turut menegaskan bahawa industri tidak boleh terus bergantung kepada kelompok pelakon yang sama.
“Kita perlu memberi peluang kepada pelakon baharu. Industri akan berkembang apabila lebih ramai bakat diberi ruang untuk menunjukkan kemampuan mereka.”
Mengangkat sejarah ke layar perak
Eddy berharap lebih banyak karya tempatan mengangkat sejarah dan tokoh-tokoh yang membentuk Sabah.
“Generasi muda hari ini semakin kurang mengenali tokoh-tokoh penting dalam sejarah negeri.”
“Ramai mungkin pernah mendengar nama-nama pejuang di sekolah, tetapi mereka tidak benar-benar memahami perjuangan mereka. Filem boleh menjadi medium untuk memperkenalkan sejarah dan perjuangan tokoh-tokoh tempatan.”
“Di negara lain, mereka banyak menghasilkan filem yang mengangkat tokoh sejarah dan perjuangan bangsa. Filem seperti itu bukan sahaja menjadi hiburan, tetapi juga medium pendidikan untuk generasi muda.”
Kisah benar mempunyai nilai besar
Selain sejarah, Eddy turut melihat kisah benar dan realiti kehidupan masyarakat sebagai sumber cerita yang berpotensi besar.
“Penonton lebih mudah menghayati karya apabila mereka dapat melihat kehidupan sebenar yang dipaparkan di layar.”
Beliau mencontohkan filem Surga Dalam Botol yang berjaya memaparkan realiti kehidupan masyarakat.
“Ia tidak sekadar bercerita untuk menghiburkan, tetapi turut menunjukkan bagaimana kehidupan sebenar sesebuah komuniti.”
Namun beliau mengingatkan, setiap isu perlu diangkat secara bertanggungjawab supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Lebih daripada sekadar hiburan
Bagi Eddy, membangunkan industri filem Sabah bukan sekadar menghasilkan lebih banyak karya, tetapi memastikan setiap filem mempunyai nilai.
“Filem bukan sekadar hiburan. Filem juga boleh menjadi medium pendidikan, membentuk pemikiran masyarakat dan memperkenalkan sejarah, budaya serta identiti Sabah kepada penonton yang lebih luas.”
Dengan keyakinan bahawa Sabah memiliki bakat, cerita dan identiti tersendiri, beliau percaya industri filem tempatan mampu melangkah lebih jauh sekiranya semua pihak berani berubah, bekerjasama dan menghasilkan karya yang bukan sahaja membanggakan Sabah, tetapi turut mendapat tempat di hati penonton seluruh negara.

