KUALA LUMPUR: 25 Ogos 2025 – Peritnya menanggung kerinduan terhadap seseorang yang pernah menjadi sebahagian penting dalam hidup, sukar diungkap. Hanya kerinduan mendalam membelenggu berat mereka yang menanggungnya.
Itulah dirasakan penyanyi Fanzi Ruji atau nama sebenarnya Mohd. Rifanzi Ruji, 37, sekian lama gara-gara cinta yang tidak kesampaian. Justeru, dia meluahkan keperitan itu dalam lagu baharunya, Berharap.

Anak jati Ranau, Sabah ini tidak berselindung mengakui Berharap adalah berkisar pengalaman cintanya pada masa lalu. Namun, jauh di sudut hati, masih wujud harapan agar cinta itu kembali.
“Sehingga kini, ada saat-saat di mana saya masih tertanya bagaimana agaknya hidup ini jika dapat bersama cinta hati saya itu. Saya belum ‘move on’. Ada kalanya, harapan itu masih membara walaupun kami sudah putus.
“Lirik lagu ini menonjolkan situasi seseorang yang tidak mampu melepaskan insan paling bermakna dalam hidupnya. Lalu, dia terperangkap dalam kesedihan dan tidak mampu membuka hati kepada cinta baharu.
“Lagu ini sangat istimewa kerana saya diberi ruang dan kebebasan sepenuhnya mencipta melodi dan menulis lirik mengikut kata hati saya sendiri. Segala yang terhasil datang daripada emosi dan pengalaman paling dalam,” katanya.
Berharap juga menjadi titik terpenting dalam kerjaya muzik Fanzi apabila diangkat sebagai lagu runut bunyi utama atau OST untuk drama Kerana Seorang Lelaki arahan Michael Ang.
Drama berkenaan dibintangi barisan pelakon hebat termasuk oleh Harissa Adlynn, Daniel Fong, Nabil Aqil, Dr. Soo Wincci, Marissa Yasmin, Arena Lieya, Kahoe Hon, Aiman Ameer, dan ramai lagi.
Kerana Seorang Lelaki mula bersiaran sejak 11 Ogos lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang menerusi saluran Astro Prima, Astro One, dan Sooka.
Cukup terharu, dia sifatkan ia satu penghargaan besar, apatah lagi dirinya masih baharu dalam dunia penciptaan lagu dan belum dikenali secara meluas sebagai penyanyi di Malaysia.
“Saya memang terkejut dan tak sangka apabila dimaklumkan bahawa Michael berminat menjadikan Berharap sebagai OST dramanya. Perasaan saya ketika itu sangat teruja dan bersyukur.
“Ini kerana, pencapaian ini satu peluang yang saya anggap cukup istimewa, terutama bagi penyanyi baharu seperti saya. Ia memberi keyakinan untuk saya terus berkarya,” katanya.

Menceritakan proses rakamannya, Fanzi berkongsi lagu itu mula dihasilkan sekitar Oktober 2024. Ia bermula dengan beberapa sesi perbincangan dan ‘brainstorming’untuk memperhalusi hala tuju lagu.
Penyanyi naungan MLE Records Talents ini amat bertuah memiliki pasukan hebat dalam proses itu. Mereka termasuk Reza Ramsey atau Bajai sebagai komposer bersama, Nurul Najwa (lirik), dan Afif Tirmizie (guru vokal).
Menurutnya, keseluruhan proses siap sepenuhnya pada Februari 2025. Bagaimanapun, lagu ini ‘disimpan’ dahulu sehinggalah drama Kerana Seorang Lelaki ditayangkan.
“Kami benar-benar ambil masa bagi memastikan setiap aspek seperti susunan vokal, emosi dan penyampaian berada pada tahap terbaik.
“Bagi saya, antara momen paling menyeronokkan adalah sewaktu sesi cipta melodi dan struktur lagu bersama Bajai. Saya banyak belajar mengenai proses penciptaan lagu daripada beliau.
“Selain itu, sewaktu rakaman vokal, saya amat bertuah bekerjasama dengan Afif yang sangat membantu dari segi mendapatkan ‘feel’ dan teknik vokal tepat agar penyampaiannya betul-betul sampai kepada pendengar,” katanya.
Menyorot kembara seni Fanzi, dia adalah bukti penyanyi yang tidak pernah putus asa atau semangat membina nama besar. Apa saja pertandingan hebat yang tidak pernah disertainya?

Pemenang cabaran TikTok anjuran komposer Amerika Syarikat, David Michael Frank pada 2021 itu turut mencuba nasib dalam All Together Now Malaysia (ATNM), Calpis Soda One in a Million (CSOIAM), Raise The Star, dan lain-lain.
Fanzi sememangnya berimpian untuk terus terbang tinggi dalam belantara muzik Malaysia. Menerusi Berharap, dia mahukannya jadi titik pemula fasa terindah buatnya sebagai penyanyi arus perdana.
“Semoga Berharap mampu membawa nama dan bakat saya ke tahap yang lebih tinggi dalam industri muzik. Saya mahu lagu ini menjadi batu loncatan untuk saya dikenali sebagai penyanyi dan pencipta lagu.
“Saya mahu mampu bersaing secara serius di carta lagu serta pentas anugerah. Harapan saya agar lagu ini menjadi permulaan kepada perjalanan karier seni saya yang lebih jauh dan bermakna,” katanya.