Fahmi dedah modus operandi sindiket deepfake ugut wakil rakyat

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mendedahkan sindiket deepfake menggunakan taktik menghantar e-mel ugutan kepada wakil rakyat dengan ancaman menyebarkan video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) jika bayaran tidak dibuat.

Katanya, semua e-mel ugutan itu mempunyai ayat yang hampir sama, disertakan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar dari alamat e-mel yang sama.

Difahamkan, setiap wakil rakyat terbabit diminta membayar AS$100,000 (kira-kira RM420,000) bagi mengelak video lucah palsu itu disebarkan.

Antara yang menjadi mangsa termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Selangor, Najwan Halimi dan Dr Fahmi Ngah; ADUN Kulim, Wong Chia Zen; serta Senator Manolan Mohamad.

Fahmi sendiri turut menerima e-mel sama.

Fahmi menjelaskan peningkatan kes deepfake kini menjadi ancaman baharu kerana bukan sahaja merosakkan reputasi, malah berpotensi meningkatkan kes penipuan dan buli siber.

Susulan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab, termasuk menjejaki akaun Gmail yang digunakan penjenayah.

Menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes seumpama ini juga boleh disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Kerajaan MADANI menegaskan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.

Sumber: kenyataan Fahmi Fadzil – Menteri komunikasi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal