KOTA KINABALU: 10 April 2026-Penyanyi dan pencipta lagu tempatan, Eylia Guntabid, tampil dengan single baharu Langadon Oku Sabah yang membawa pendekatan lebih rancak dan mesra pendengar berbanding karya terdahulu.
Eylia berkata, lagu itu merupakan ciptaan dan komposisinya sendiri, selepas kejayaan lagu pertama Sumanwagu.
“Idea lagu ini tercetus apabila saya mahu hasilkan lagu yang berunsurkan keramaian, lebih ‘catchy’ dan mudah ‘relate’ dengan semua orang. Sebelum ini saya lebih kepada ballad dan R&B, tetapi kali ini saya cuba sesuatu yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, pembikinan lagu itu turut melibatkan kerjasama bersama ahli keluarga, termasuk ayahnya yang bertindak sebagai penyusun alur muzik bersama rakan sekerja.
“Sebagai pemuzik yang lebih arif dalam bunyi dan rentak tradisi, saya pilih untuk bekerjasama dengan mereka bagi memastikan identiti Sabahan dalam lagu ini lebih kuat,” katanya.
Rakaman vokal dijalankan di Pusakag Production, manakala keseluruhan proses termasuk penghasilan muzik video mengambil masa kira-kira dua bulan dengan bantuan ibu dan pasukan kecilnya.

Bagi muzik video, Eylia menampilkan Juara Randawi Tavantang Kaamatan 2025 sebagai model utama, selain turut melibatkan pempengaruh tempatan, Mr Clyrie dan Ms Gabriella, dan artis tari dari Universiti Malaysia Sabah.
Tidak ketinggalan, abangnya Noel Guntabid turut menyumbang sebagai vokalis lelaki dan memberi sokongan dalam projek berkenaan.
Mengulas cabaran, Eylia mengakui proses mencipta melodi dan lirik merupakan aspek paling mencabar kerana perlu memastikan keaslian karya.
“Ada beberapa melodi yang kedengaran sama dengan lagu lain, jadi saya perlu ubah dan cari sehingga dapat hasil yang benar-benar sesuai dengan konsep,” katanya.

Langadon Oku Sabah dijadual dilancarkan pada 16 April 2026 menerusi saluran YouTube dan semua platform digital.
Eylia berkata, lagu itu bukan sahaja menampilkan kelainan dari segi genre, tetapi juga menjadi projek kedua terbesar selepas Sumanwagu.
“Mesej utama lagu ini adalah tentang kepelbagaian dan keunikan Sabah. Saya mahu tunjukkan bahawa masyarakat Sabah sangat mesra dan ‘easy going’, selain memperkenalkan tempat-tempat menarik di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, lagu itu dijangka memberi impak khusus kepada rakyat Sabah yang berada di perantauan, selain berpotensi menarik perhatian pendengar luar.
“Saya harap lagu ini dapat diterima semua lapisan masyarakat, terus didengarkan oleh pelbagai peringkat umur, dan dikenali hingga ke luar Sabah,” katanya.
