KOTA BELUD: 21 Februari 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, Ewon Benedick, merakamkan rasa simpati terhadap keluarga yang terjejas dan memberi jaminan akan membantu permudahkan urusan penyaluran bantuan yang bersesuaian, diterima dari Kerajaan.
Beliau berkata demikian semasa menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, pagi tadi, untuk meninjau sendiri keadaan dan keperluan keluarga yang terjejas.
Dalam lawatan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan awal kepada semua keluarga terlibat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Pusat Khidmat ADUN Kadamaian turut menyelaras penyaluran bantuan keperluan segera di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), termasuk kemudahan pengangkutan bagi tujuan pemindahan mangsa.
Menurutnya, walaupun terikat dengan tugasan rasmi kementerian di luar kawasan, beliau sentiasa memastikan urusetia Pusat Khidmat serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian bertindak segera membantu masyarakat terutamanya apabila terdapat mangsa bencana.
Dalam kejadian berkenaan, sebanyak 10 rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi mengalami kerosakan sebahagian struktur. Kejadian itu telah diisytiharkan sebagai bencana oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton, untuk membolehkan semua keluarga terlibat dipindahkan ke PPS di Melangkap.
